Bantuan seragam sekolah ringan beban ibu bapa

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

SERI DELIMA – Seramai 455 orang murid sekolah rendah yang menetap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Delima menerima bantuan pakaian seragam sekolah untuk sesi persekolahan tahun hadapan di sini baru-baru ini.

Menurut ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer, program yang bermula sejak tahun 2009 tersebut bertujuan meringankan beban ibu bapa setiap kali hadirnya sesi persekolahan di mana banyak wang perlu dibelanjakan.

“Peruntukan perbelanjaan sumbangan kali ini adalah keseluruhan berjumlah RM35,000.

“Setiap pelajar disumbangkan baucar untuk ditukarkan kepada kelengkapan pakaian seragam sekolah masing-masing,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Sesi Persekolahan 2014 di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Tun Sardon di sini baru- baru ini.

Tambah Rayer, pada tahun depan, beliau berhasrat melanjutkan penyampaian sumbangan tersebut kepada pelajar- pelajar sekolah menengah atas inisiatif sama.