Bas sekolah ‘Bersih dan Hijau’ dilancar

CHOW Kon Yeow (kiri) bersama dengan wakil penaja (kanan) menunjukkan pelekat ‘Cleaner, Greaner School Bus Penang’ yang bakal menghiasi bas sekolah di negeri ini.
CHOW Kon Yeow (kiri) bersama dengan wakil penaja (kanan) menunjukkan pelekat ‘Cleaner, Greaner School Bus Penang’ yang bakal menghiasi bas sekolah di negeri ini.

GEORGE TOWN – Ekoran inisiatif Kerajaan Negeri untuk memelihara serta memulihara alam sekitar agar sentiasa bersih dan hijau, langkah terbaru yang diambil adalah dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri
pertama mengetengah dan mempromosikan konsep Bas Sekolah Bersih dan Hijau.

Pendekatan sulung tersebut adalah hasil kerjasama Kerajaan Negeri melalui Jawantankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas dengan sebuah syarikat pengiklan yang dilantik dan diberikan tanggungjawab sepenuhnya di dalam pelaksanaan projek, Kuasa Media Adv. Sdn. Bhd..

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, projek terbabit dilancarkan seiringan dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah sifar sampah dan sisa buangan. Justeru, ianya wajar dimula dan diterapkan dalam kalangan pelajar sekolah sejak dari kecil.

“Meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Pendedahan awal kepada pelajar untuk menjaga alam sekitar adalah penting. Oleh itu, bas sekolah adalah medium dan platform terbaik untuk Kerajaan Negeri menyampaikan mesej ini kepada pelajar.

“Projek ini juga dapat menyelesaikan masalah para pengusaha bas sekolah di negeri ini untuk menambahbaik keadaan bas mereka dan pada masa sama dapat menjana pendapatan sampingan daripada hasil pengiklanan,” ujarnya pada majlis perasmian di Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Tambah Kon Yeow, sektor korporat, swasta dan pengiklan adalah dialu-alukan untuk turut serta mengambil bahagian bagi mengiklankan produk dan jenama mereka.