Pasar Bayan Baru tapak hasil baja kompos

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN BARU – Atas usaha ke arah Pulau Pinang Bersih dan Hijau, Kompleks Pasar Awam Bayan Baru telah  dijadikan satu platform oleh Kerajaan Negeri untuk menjalankan aktiviti penghasilan baja kompos daripada sisa makanan terbuang dengan menggunakan teknologi pengkomposan ‘takakura’.

Penghasilan baja melalui pengkomposan tersebut adalah dengan menggunakan sisa makanan hasil jualan harian
penjaja Kompleks Pasar Awam Bayan Baru dan ianya merupakan alternatif untuk mengelakkan pencemaran alam sekitar dan tapak pelupusan sampah yang semakin sarat kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin ketika melakukan lawatan teknikal berkata, terdapat 12 tong penapaian dan sebuah mesin pemprosesan disediakan dan ditempatkan di belakang kompleks tersebut bagi memudahkan pekerja Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengumpulkan sisa makanan harian.

“Baja akan dihasilkan dalam tempoh 28 hari dengan anggaran sebanyak 12,000 liter baja kompos dihasilkan dalam tempoh tersebut,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Tambah Tze Tzin, setakat ini seramai 50 penjaja membekalkan sisa makanan dan buah-buahan untuk diproses menjadi baja.

Hanya bahan-bahan makanan tertentu sahaja yang akan digunakan bagi memastikan kandungan baja yang dihasilkan tidak tercemar dan berkualiti.

“Pasar Bayan Baru merupakan satu-satunya pasar di Pulau Pinang yang menjalankan aktiviti ini. Projek ini telah dimulakan sejak enam bulan lalu untuk menghasilkan baja kompos daripada sisa makanan seperti nasi putih dan juga buah-buahan.

“Selain daripada kebaikan mengitar semula, tenaga kerja, kos penyelenggaraan sampah dan pengangkutan juga dapat dikurangkan,” ujarnya.

Turut menghadiri lawatan di kompleks tersebut ialah Ahli Majlis MPPP, Ramlah Asiahoo dan Mohd. Rashid Hasnon.