GEORGE TOWN – Pembangunan kawasan Batu Kawan sebagai hab industri dan pelaburan masa depan Pulau Pinang perlu diperkukuhkan secara agresif bagi menarik lebih ramai pelabur baharu ke negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berkata, kawasan tersebut mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu sekiranya disokong dengan ekosistem yang lengkap dan kompetitif.
Menurut beliau, antara aspek yang perlu diberi perhatian termasuk penyediaan infrastruktur asas mencukupi, jaringan pengangkutan yang efisien, kemudahan logistik, pembangunan modal insan serta jaminan utiliti yang stabil.
“Pelabur mungkin boleh bertolak ansur dengan kerenah birokrasi, tetapi mereka tidak akan bertolak ansur dengan ketidakjaminan bekalan air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini, pada 12 Mei 2026.
Mengulas lanjut, Kumaresan berkata bahawa Kerajaan Negeri juga perlu mempercepat pelan kontingensi air bagi memastikan kelestarian serta keselamatan bekalan air jangka panjang negeri terus terjamin.
Katanya, perubahan iklim, cuaca panas melampau dan musim kemarau yang tidak menentu memberi kesan besar terhadap sumber air negeri serta boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan operasi industri jika tidak ditangani secara menyeluruh.
“Namun begitu, saya menyokong langkah kerajaan memperkukuh tadbir urus air melalui Enakmen Sumber Air Pulau Pinang 2025 serta penubuhan Lembaga Sumber Air Pulau Pinang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memohon penjelasan mengenai perkembangan terkini perjanjian air antara Perak dan Pulau Pinang termasuk status projek pembekalan air dari Sungai Perak yang disifatkan penting bagi masa depan negeri ini.
Menyentuh pembangunan ekonomi digital, beliau menyokong pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025-2030 yang menyasarkan ekonomi digital menyumbang 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri menjelang tahun 2030 selain menarik pelaburan digital bernilai RM20 bilion.
“Pulau Pinang juga perlu terus menjadi peneraju teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) menerusi pembangunan bakat tempatan melalui pelbagai program latihan.
“Usaha pembangunan modal insan seperti Tech Dome Penang, Penang Science Cluster dan Penang STEM 4.0 membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri melahirkan generasi berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri global,” katanya lagi.
Dalam aspek infrastruktur pula, beliau menyokong pelaksanaan projek strategik negeri termasuk Projek LRT Mutiara, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta pembangunan Transit Oriented Development (TOD) Sungai Nibong.
Walau bagaimanapun katanya, Projek LRT Mutiara tidak boleh hanya tertumpu kepada pembinaan stesen dan jajaran semata-mata, sebaliknya perlu memastikan sistem ‘last mile connection’ yang berkesan.
“Jika rakyat turun di stesen LRT tetapi masih tiada sambungan ke kawasan perumahan, tempat kerja atau pusat komersial, maka objektif sebenar pengangkutan awam tidak tercapai.
“Oleh itu, saya mencadangkan supaya setiap stesen LRT dilengkapi integrasi menyeluruh termasuk perkhidmatan bas pengantara, van transit, laluan pejalan kaki, ‘park and ride’ serta laluan basikal,” katanya.
Selain itu, beliau turut memohon supaya perkhidmatan Rapid Bus di kawasan Lebuh Nipah dipertingkat termasuk mempertimbang penggunaan Rapid On-Demand sebagai penyelesaian jangka pendek untuk meningkatkan aksesibiliti pengangkutan awam.
Oleh: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN