Pulau Pinang terus jadi ‘enjin’ ekonomi, wajar terima pulangan lebih adil

Admin
4b484a45 a192 4307 995b a6444a73babe

GEORGE TOWN – Pulau Pinang wajar diberikan pulangan yang lebih adil dan setimpal daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan negeri ini terus menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berkata, pencapaian ekonomi negeri yang memberangsangkan membuktikan bahawa Pulau Pinang kekal sebagai ‘enjin’ ekonomi utama Malaysia.

Menurut beliau, berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM63.96 bilion pada tahun 2025 sekali gus mengekalkan momentum sebagai hab pelaburan dan teknologi utama negara.

“Selain itu, jumlah perdagangan negeri mencecah RM956.37 bilion dengan nilai eksport sebanyak RM573.91 bilion yang menyumbang sekitar 35.7 peratus kepada keseluruhan eksport Malaysia.

“Ini membuktikan bahawa Pulau Pinang bukan sahaja penting kepada ekonomi negeri malah menjadi pemacu utama ekonomi negara khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, teknologi tinggi dan ICT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kumaresan turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mempertimbang tuntutan perkongsian hasil daripada Kerajaan Persekutuan berdasarkan sumbangan besar Pulau Pinang kepada ekonomi negara.

“Ini bukan soal politik tetapi soal keadilan fiskal berdasarkan sumbangan besar Pulau Pinang kepada ekonomi dan eksport negara.

“Maka, adalah wajar Pulau Pinang diberikan pulangan yang lebih adil dan setimpal agar hasil tersebut dapat dikembalikan semula kepada rakyat melalui pembangunan infrastruktur, pengangkutan awam, projek tebatan banjir, bekalan air, perumahan mampu milik serta kebajikan rakyat,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau turut menjunjung kasih atas titah ucapan TYT yang menyentuh secara menyeluruh mengenai hala tuju pembangunan negeri meliputi aspek ekonomi, pelaburan, digitalisasi, pembangunan modal insan, keterjaminan air, mobiliti mampan, kesejahteraan rakyat dan kelestarian negeri.

“Saya menyokong penuh penegasan TYT bahawa Pulau Pinang perlu terus memperkukuh daya tahan negeri dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, konflik geopolitik dunia, perubahan iklim serta cabaran rantaian bekalan antarabangsa yang semakin kompleks,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas pencapaian perdagangan negeri yang disifatkan amat membanggakan sepanjang tahun lalu.

Oleh: MOHD.AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN