Batu Maung bersedia hadapi banjir

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

ABDUL Malik Abul Kassim.
ABDUL Malik Abul Kassim.

BATU MAUNG – Dek kerana pembangunan pesat yang berlaku di sekitar kawasan Batu Maung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Abdul Malik Abul Kassim kini giat menyusun inisiatif bagi menghadapi musim hujan.

Menurut Abdul Malik, kawasan Batu Maung bukan sahaja terdedah kepada banjir kilat, malah, turut terdedah kepada bencana banjir yang lebih besar seandainya tiada langkah-langkah proaktif dan pencegahan diambil.

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) telah memperkenalkan program ArcMap yang akan memantau kawasan ‘black spots’ atau kawasan berkemungkinan dilanda banjir”.

“Umumnya, program ini turut memantau kawasan pengelodakan dan kawasan yang mempunyai sistem aliran dan saliran lemah,” ujar beliau dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabat beliau di Komtar baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, sistem saliran yang baik adalah penting bagi memastikan aliran air lancar dan tidak tersumbat. Sekiranya sistem saliran ini tidak dipantau, kemungkinan bencana banjir yang lebih dahsyat akan melanda kawasan tersebut.

Abdul Malik yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam pada itu, mempengerusikan mesyuarat khas yang diadakan bersama wakil-wakil jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan wakil-wakil pemaju perumahan bagi membincangkan alternatif serta inisiatif terbaik dalam menghadapi musim banjir.

“Dalam mesyuarat itu, kita mengambil kira beberapa faktor antaranya kawasan yang sering dilanda banjir
sejak tiga tahun lalu dan kawasan memerlukan sistem peparitan terutamanya di kawasan yang sedang pesat dengan projek-projek perumahan,” tambah beliau.