42 keluarga rumah dipukul ribut terima bantuan KN

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

MOHD. Dali ABU BAKAR (tiga dari kiri) menerima sumbangan awal daripada Ketua Menteri sebelum proses taksiran kerugian dikenalpasti. Turut hadir adalah Jusni Ismail (kanan sekali).
MOHD. Dali ABU BAKAR (tiga dari kiri) menerima sumbangan awal daripada Ketua Menteri sebelum
proses taksiran kerugian dikenalpasti. Turut hadir adalah Jusni Ismail (kanan sekali).

KEPALA BATAS – Keluarga Mohd. Dali Abu Bakar, 43, antara 51 rumah dipukul ribut baru-baru ini yang menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika melawat keluarga empat beranak di Kampung Permatang Saga dekat Pinang Tunggal, di sini, berkata, bantuan segera telahpun diberikan kepada semua keluarga mangsa dalam tempoh masa 24 jam.

Tambahnya, pemberian sumbangan penuh akan dilakukan melalui Majlis Keselamatan Negeri selepas selesai proses taksiran kerugian oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam tempoh terdekat.

“Dari Tabung T.Y.T, maksima yang boleh dituntut adalah sebanyak RM5,000 dan ia bergantung pada (proses) taksiran (kerugian bencana).

“Setakat ini, bantuan segera telahpun disalurkan dalam masa 24 jam dari kejadian,” ujarnya pada satu sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU) di sini baru-baru ini.

Sidang akhbar itu turut dihadiri, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Pengawai Daerah dan Tanah SPU, Jusni Ismail. Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) turut hadir.

Mereka, Rosidi Hussain (Penaga), Asrol Sani Abdul Razak (Bertam), Arshad Md. Salleh (Permatang Berangan) dan Md. Fahmi Abd. Wahab (Sungai Dua).

Dalam kejadian baru-baru ini, sebanyak 51 rumah telah dipukul ribut membabitkan kawasan Pinang Tunggal (16 buah rumah), Lahar Tiang (27), Paya Keladi (1) dan Bumbung Lima (7). Ekoran itu, kira-kira 82 laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bertam Perdana, Balai Polis Kepala Batas dan Balai Polis Tasek Gelugor.

MOHD. Dali Abu Bakar.
MOHD. Dali Abu Bakar.

Dalam reaksi spontan kepada Buletin Mutiara, Mohd. Dali berkata, ribut pada hari kejadian telahpun menerbangkan keseluruhan bumbung rumah beliau sejauh satu kilometer (KM).

“Bumbung semua terbang sejauh satu kilometer sampai ke ladang kelapa sawit di belakang rumah.

“Saya di luar. Dua anak mujur sempat diselamatkan oleh isteri saya,” ujarnya sambil menyatakan bahawa beliau sekeluarga sekarang tidak mempunyai tempat berteduh.

“Buat masa ini, memang tak ada rumah. Bumbung dah tak ada, dah tak boleh dipanggil rumah. Saya, isteri dan dua anak sekarang ini tinggal di rumah emak yang berdekatan dengan sini (rumahnya),’’ tambah Mohd. Dali.