Baucar Deepavali untuk golongan istimewa

BUKIT MERTAJAM – Sejumlah RM10,500 baucar tunai diagihkan kepada 105 penganut agama Hindu terpilih termasuk golongan ibu tunggal sempena sambutan Deepavali baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong di Taman Seri Maju di sini.

“Saya berharap pemberian baucar tunai ini sedikit sebanyak membantu menerangi sambutan perayaan Deepavali golongan memerlukan.

“Penerima boleh menggunakan ‘duit raya’ (baucar) tersebut untuk membeli barang -barang keperluan di pasar raya terpilih,” ucapnya pada majlis berkaitan.

Selaras itu, Chee Keong turut mengumumkan sumbangan pihaknya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kebajikan Ayirathil Oruvan Ithayakani M.G.R Pulau Pinang bernilai RM3,000 bagi membolehkan entiti berkenaan melaksanakan aktiviti tahunan khususnya melibatkan masyarakat India di sini.