MBPP ‘ubahsuai’ unit rumah demi kemudahan OKU

SUNGAI PINANG – Prihatin dengan keperluan dan kemudahan golongan orang kurang upaya (OKU), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tampil mengubahsuai enam unit rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai di sini.

Lanjutan itu, konsep rumah mesra OKU tersebut mendapat pujian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim yang mengadakan lawatan khas baru-baru ini.

Siew Khim berkata, proses pengubahsuaian dilaksanakan MBPP adalah mengikut spesifikasi dan piawaian yang bukan sahaja memudahkan mobiliti golongan berkenaan, tetapi juga selamat.

“Reka bentuk rumah selepas pengubahsuaian adalah lebih luas berbanding yang sedia ada termasuk di ruang dapur, tandas serta ruang tamu.

“Iaitu, ruang-ruang tersebut turut dilengkapi dengan pemegang besi bagi memudahkan pergerakan OKU,” katanya pada lawatan tersebut di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Majlis MBPP, Joseph Ng Soon Siang, Lim Boon Beng, Chris Lee Chun Kit, Tan Chiew Choon dan Dr. Tan Kim Hooi.

Proses pengubahsuaian berkaitan menelan belanja antara RM35,000 hingga RM58,000 seunit bergantung pada keperluan OKU terbabit.

Perkembangan tersebut, jelas Siew Khim, menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan keperluan dan kemudahan golongan OKU dan tidak pernah meminggirkan mana-mana pihak dalam projek pembangunan negeri.

}