KN komited bela tenaga kerja demi produktiviti P. Pinang

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri baru-baru ini menzahirkan komitmen dalam memastikan keperluan tenaga kerja di Pulau Pinang dibela sewajarnya.

Perkara itu disuarakan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy ketika hadir memberi ucaptama pada Forum Akta dan Undang-undang Pekerjaan Pulau Pinang 2015 di sini baru-baru ini.

Jelasnya, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan tenaga kerja kekal sihat, bertenaga dan dilindungi demi meningkatkan produktiviti di negeri ini.

“Bukan sahaja Kerajaan Negeri, pemain industri juga perlu mengiktiraf hak-hak pekerja masing-masing dalam membentuk perpaduan dan kesatuan sekaligus membantu meningkatkan produktiviti.

“Malah, kami (Kerajaan Negeri) turut memberi galakan kepada syarikat-syarikat multinasional (MNC) di Pulau Pinang khususnya untuk menubuhkan kesatuan sekerja supaya penetapan standard dalam kalangan ahli kesatuan dapat dilaksanakan,” katanya di sini.

Pengurus Besar investPenang, Loo Lee Lian; Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, MTUC (Cawangan Pulau Pinang), K. Veeriah; mantan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang, Hoe Lean Fatt dan Pengerusi Badan Perhubungan Sumber Manusia Pulau Pinang, Datuk Ajit Singh hadir sebagai penceramah dalam forum selama sehari itu.

Seramai 192 peserta turut serta dalam forum yang memasuki edisi keempat sejak penganjurannya.

Selain menjadi platform bagi pemain industri bertukar-tukar idea dan jaringan kerjasama, forum yang turut disertai pemain industri dari Kuala Lumpur, Kedah, Perlis dan Perak tersebut juga merupakan medan mewujudkan budaya kerja yang produktif dan kompetatif.

Menurut Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan & Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, pembangunan sumber manusia dan tenaga kerja mahir turut menjadi perhatian Kerajaan Negeri.

“Pulau Pinang kini bukan sahaja mempunyai peluang pekerjaan yang luas, tetapi juga kekurangan tenaga kerja mahir tempatan dan berkelayakan kerana kebanyakan mereka ‘berhijrah’ atau ‘selalunya hilang’ dan bekerja di luar Malaysia.

“Data dari MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) menunjukkan sejumlah 17,896 peluang pekerjaan baru dijana pada tahun lalu (2014), dan sejumlah 13,199 (peluang pekerjaan) lagi menjelang separuh tahun pertama tahun ini di Pulau Pinang,” jelas beliau.

Tambah Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Pulau Pinang cukup bersedia untuk menyerap lebihan pekerja melalui latihan penggabungan serta pengambilan (the merger and acquisition exercises) yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat elektronik dan semikonduktor di sini.

“Pulau Pinang merekodkan sejumlah 1.2 peratus kadar pengangguran iaitu yang terendah dalam sejarah Malaysia. Malah, ketika krisis ekonomi dunia antara tahun 2007 – 2009, kadar pengangguran masih rendah iaitu sekitar 4.0 peratus sahaja.

“Situasi ini sekaligus membuktikan bahawa pasaran tenaga kerja di Pulau Pinang masih lagi kompetatif dan kekal berdaya saing,” ujarnya.

Forum Akta Undang-undang Pekerjaan Pulau Pinang 2015 dianjurkan oleh MMK Perancangan Ekonomi Negeri dan Sumber Manusia di bawah Ramasamy dengan kerjasama dari Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Badan Perhubungan Sumber Manusia Pulau Pinang.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);