Bazar Ramadan Jalan Akuarium buka peluang perniagaan kepada 35 orang peniaga

Admin
SYERLEENA Abdul Rashid (tiga dari kiri) meluangkan masa melawat sebuah gerai yang menjual juadah pencuci mulut dekat Jalan Akuarium baru-baru ini.

SERI DELIMA – Hasil usaha sama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Akuarium dengan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM), 35 orang peniaga berpeluang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan baharu.

Bazar tersebut yang terletak di Jalan Akuarium (tapak TLDM KD Sri Pinang) itu merupakan julung kalinya diadakan.

“Dengan tambahan bazar di Jalan Akuarium, difahamkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Delima sekarang ada tiga bazar iaitu di Taman Tun Sardon, hadapan Pejabat Pos Sungai Gelugor dan di sini.

“Penganjuran buat pertama kali ini sememangnya telah mencatat satu sejarah bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima, jadi saya seru orang ramai yang lalu di kawasan ini bolehlah cuba singgah beli juadah-juadah lazat dekat sini,” ujar ADUN kawasan tersebut, Syerleena Abdul Rashid kepada pemberita.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga turut mengunjungi Bazar Ramadan Tun Sardon dan lebih kurang 70 gerai telah diberi peluang untuk berniaga pada Ramadan kali ini.

“Saya juga sempat untuk melawat setiap gerai di bazaar Ramadan ini serta mengedarkan Apron My Seri Delima, Takwim Ramadan dan buah kurma kepada penduduk dan peniaga sekitar kawasan ini,” kata Syerleena lagi.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN

Gambar: ADUN