Restoran vegetarian sihat, Idealite buka cawangan kelima di Pulau Pinang

Admin

SEBERANG JAYA – Restoran yang menyediakan makanan vegetarian sihat, Idealite membuka cawangan kelima di Pulau Pinang dekat Aras 2, Sunway Carnival Mall, di sini.

Majlis pembukaan restoran berkenaan dirasmikan oleh Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin pada 5 Mei lalu.

Antara menu istimewa boleh didapati di restoran Idealite.

Afif berkata, Idealite bukan hanya restoran yang menyediakan makanan vegetarian sihat tetapi juga merupakan restoran kedua telah mendapat pensijilan halal daripada pihak berkuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Sangat menyenangkan apabila mengetahui bahawa produk halal kini bukan sahaja dicari oleh orang Islam tetapi juga oleh orang bukan Islam yang semakin menyedari tentang kepentingan produk halal.

“Justeru, saya mengucapkan tahniah kepada Idealite atas usaha ini dan semoga terus maju jaya pada masa-masa akan datang.

“Saya berharap agar usaha ini akan menjadi pemangkin kepada kejayaan berterusan Idealite dan usaha menjadikan produk halal untuk semua dapat direalisasikan tidak lama lagi,” ujarnya.

Difahamkan, restoran Idealite terkenal dengan sajian menu-menu istimewa seperti Hokkaido Miso Ramen, Herbal Rice, Sesame Hericium Salad, Red Curry Ramen dan Superberry Antioxidant Bowl serta penggunaan bahan-bahan berkualiti seperti mi penuh bijirin, garam Himalaya, milet dan minyak zaitun di dalam setiap masakan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADUN