Bazar Ramadan Liga Muslim himpun peniaga makanan, pengusaha restoran ikonik

Admin
img 20240312 wa0085

PADANG KOTA – Bazar Ramadan anjuran pertubuhan Liga Muslim Pulau Pinang mengumpulkan peniaga-peniaga makanan serta para pengusaha restoran yang ikonik dengan budaya dan tarikan grastronomi di negeri ini.

Bertempat di Lebuh Queen dekat sini, Bazar Ramadan berkenaan yang memasuki penganjuran tahun ke-20 pada tahun ini akan beroperasi sepanjang bulan Ramadan bermula jam 2 petang sehingga 8 malam.

Sebanyak 25 gerai disediakan dengan menawarkan pelbagai makanan seperti martabak, kuih-muih tradisional, manisan, lauk-pauk dan aneka lagi juadah yang mampu membuka selera para pengunjung yang bertandang.

img 20240312 wa0094

img 20240312 wa0096

img 20240312 wa0098

img 20240312 wa0093

img 20240312 wa0089

img 20240312 wa0086

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dengan lokasi Lebuh Queen yang strategik, penganjuran Bazar Ramadan berkenaan merupakan salah satu cara untuk mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini.

“Kawasan ini terkenal dengan kebanjiran pelancong untuk menikmati kekayaan budaya, tidak terhad kepada seni bina bangunan serta tradisi, malah juga kepelbagaian makanan yang dinikmati oleh masyarakat Pulau Pinang.

“Bazar Ramadan yang berlangsung ini sekali gus mampu membuka peluang perniagaan tambahan kepada para pengusaha khususnya pengusaha makanan yang ada di sekitar kawasan ini,” katanya ketika merasmikan penganjuran Bazar Ramadan berkaitan dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Law Keng Ee; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Haja Najmudeen Kader; Timbalan Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Dr. Shahul Hamid; Pengerusi Bazar Ramadan merangkap Ketua Pemuda Liga Muslim Pulau Pinang, Jamil Kader Ghani; Pengarah Urusan Mydin Wilayah Utara, Datuk Dr. Saduruddin Gulam Hussain serta barisan kepimpinan Liga Muslim.

Kon Yeow menyatakan bahawa sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan dan juga Ketua Menteri, beliau amat berbangga dengan segala inisiatif serta usaha yang dilaksanakan oleh Liga Mulim Pulau Pinang dalam membantu Kerajaan Negeri memperkasakan rakyat di negeri ini.

“Saya berharap lebih banyak pertubuhan tampil ke hadapan untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan pembangunan negeri yang seimbang,” ujarnya sambil menyeru para peniaga agar menjalankan perniagaan dengan jujur, amanah dan sentiasa mengutamakan kebersihan demi keselamatan bersama.

Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow memberitahu bahawa sebanyak 40 permohonan permit bazar Ramadan diluluskan pada tahun ini di bahagian pulau merangkumi 27 penganjur dan 13 individu.

“Di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pula, sebanyak 45 permit bazar Ramadan diluluskan dan lapan permit untuk bazar Aidilfitri,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS