DENGAN khemah niaga serba merah jambu, mungkin menjadikan Bazar Ramadan Taman Ciku dekat Bukit Mertajam pada tahun ini lebih segar, unik dan tidak keterlaluan dikatakan ia berwajah ‘hipster’.
Sebanyak 76 khemah niaga disediakan oleh penganjur iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Paya Permatang Rawa.
Kurang dari 10 khemah sahaja yang masih belum dibuka, mungkin kerana para peniaga berkenaan berkira-kira untuk berbuka puasa dengan seisi keluarga terlebih dahulu pada hari pertama berpuasa, sebelum memulakan perniagaan pada hari kedua Ramadan, esok.

Wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI berpeluang membuat tinjauan lapangan di sini.
Aneka ‘air balang’ dijual di dua khemah utama untuk diburu oleh pengunjung terutama kakitangan kerajaan selepas waktu pejabat.
Selain nasi kandar dan nasi campur selera Melayu, para pengunjung boleh membeli bihun goreng, mi goreng, nasi ayam, ayam panggang, nasi kerbau, nasi dagang, nasi tomato dan sebagainya.
Bagi yang nak merasai kelainan, lokching ‘hipster’, ayam goreng jenama lokal BFC BM dan tokoyaki antara pilihan yang ada.
Paling menjadi rebutan sampai kelihatan pengunjung beratur panjang adalah di khemah Martabak Cheruk Tok Kun.

MOHD. HANAFI MOHEDDIN, 33, memberitahu bahawa beliau adalah generasi kedua berniaga di sini.
“Lebih 30 tahun lepas, allahyarham ayah saya (bernama) Moheddin Ramli berniaga di sini.
“Biasanya gerai niaga pakai khemah zink atau khemah biasa sahaja, saya sendiri pun terkejut juga pada tahun ini kami berniaga di bawah khemah serba ‘merah’ jambu,” jelasnya kepada Buletin Mutiara pada 19 Februari 2026.

Ditanya lanjut, beliau berkata bahawa sambutan pada tahun ini diharap kekal meriah seperti tahun sebelumnya.
“Biasanya pada minggu pertama dan kedua Ramadan dan minggu akhir Ramadan, setiap hari boleh jual lebih 250 biji martabak.
“Biasanya martabak daging atau ayam dijual RM5.00 sebiji, tapi atas pelbagai faktor terpaksa jual pada harga RM5.50 sebiji,” jelasnya lagi.
Di samping itu, beliau menzahirkan rasa terharu kerana para pengunjung beratur panjang dengan penuh sabar untuk membeli di gerainya.

Pengunjung bazar, ERINA ABDULLAH, 19, yang ditemui kemudiannya berkata, beliau tidak kisah pun terpaksa beratur panjang untuk membeli martabak di sini.
“Saya tinggal di Kubang Semang, kalau ikutkan bazar Ramadan terpanjang ‘Ban Busuk’ lebih dekat, tapi saya datang ke Bazar Ramadan Taman Ciku kerana mak memang gemar Martabak Cheruk Tok Kun.
“Kalau nak ukur dari segi ramai pengunjung, bazar Ramadan dekat ‘Ban Busuk’ lebih ramai pengunjung; kalau datang lepas waktu Asar menjelang Maghrib pun belum tentu dapat sampai rumah.
“Di sini (Bazar Ramadan Taman Ciku) ada Martabak Cheruk Tok Kun, satu lagi (faktor adalah) khemah warna merah jambu…feminisme betul!,” katanya yang juga penuntut Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah dekat Pahang.

Bermastautin di Taiping, Perak, S. MANIKAM, 58, berkata bahawa beliau sebenarnya berkunjung ke rumah salah seorang anaknya dekat Kulim, Kedah.
“Saja menjenguk cucu di Kulim, Kedah.
“Di Taiping, Perak pun, pada setiap kali Ramadan tiba, saya sekeluarga memang tidak lepaskan peluang meraikan kemajmukan budaya serta membeli pelbagai makanan enak di bazar Ramadan.
“Walaupun ini kali pertama saya datang ke Bazar Ramadan Taman Ciku, khemah berwarna merah jambu memang ada tarikan.
“Saya tidak pernah membeli Martabak Cheruk Tok Kun, tapi apabila melihat pengunjung sanggup beratur panjang untuk membeli, saya yakin mesti sedap,” jelasnya yang juga pemandu Grab sepenuh masa.
Seorang lagi responden, ANG BOON AING, 46, berkata beliau juga kebetulan ke Bazar Ramadan Jalan Ciku sebab khemah berwarna merah jambu.
“Singgah di rumah abang saya yang tinggal di sini, abang saya mencadangkan saya membeli Martabak Cheruk Tok Kun di sini kerana sedap.
“Bazar Ramadan di sini memang ikonik, dengan warna khemah merah jambu memang tidak susah untuk dicari.
“Saya tidak kisah pun bersesak di Bazar Ramadan Cheruk Tok Kun kerana sengaja nak menunjukkan kepelbagaian budaya yang harmoni sempena sambutan Ramadan, kepada isteri saya yang berwarganegara Taiwan,” jelasnya yang juga akauntan bertauliah.
Bazar Ramadan Taman Ciku Bukit Mertajam dibuka seawal 3.30 petang dan tutup selepas Maghrib.