GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan mengenai kesesuaian pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri esok, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Beliau berkata, perkara tersebut belum dapat diputuskan dan akan dibincangkan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dalam mesyuarat berkenaan.
“Sebelum ini, perkara ini tidak dibincangkan kerana tiada mesyuarat (Exco) diadakan,” ujarnya sebagai respon kepada pertanyaan pemberita usai sidang media pengumuman BE Associates Programme di sini sebentar tadi.
Pada 8 April lalu, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan meneliti semula keperluan pelaksanaan dasar tersebut dengan mengambil kira maklum balas menyeluruh daripada setiap jabatan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Ia termasuk kesesuaian tugasan berdasarkan garis panduan pada peringkat Persekutuan, selain dapatan maklum balas semasa serta keperluan sebenar perkhidmatan.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT