SUKMA 2026, Pulau Pinang serah keputusan kepada Selangor

Admin
whatsapp image 2026 04 21 at 14.41.07

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyerahkan sepenuhnya kepada negeri Selangor selaku tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) untuk membuat sebarang keputusan berhubung penganjurannya, termasuk mengambil kira perkembangan semasa dan pandangan pihak berkaitan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sebarang keputusan sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya adalah tertakluk kepada pihak penganjur bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Selangor selaku penganjur SUKMA, maka terpulang kepada penganjur bersama KBS untuk membuat sebarang keputusan.

“Sekiranya penganjur memutuskan untuk diadakan, ia masih tertakluk kepada pertimbangan mereka,” ujarnya ketika ditemui pemberita pada sidang media pengumuman BE Associates Programme di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa pihaknya akan terus mengikuti perkembangan semasa memandangkan para atlet kini dipercayai berada pada fasa persiapan akhir menjelang temasya yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.

“Saya percaya para atlet telah melakukan persiapan terakhir, jadi kita akan terus memantau perkembangan (dengan sebarang keputusan yang dibuat kelak),” jelasnya.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar penganjuran temasya dwitahunan itu diteliti secara menyeluruh, termasuk dari segi kesesuaian, kesiapsiagaan serta kepentingan semua pihak terlibat.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT