GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberi jaminan bahawa perkhidmatan bekalan air di seluruh negeri kekal stabil dan berada pada tahap yang memuaskan sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan berkata, kestabilan sumber air negeri ini merupakan hasil pengurusan rapi kapasiti efektif di tiga empangan utama negeri yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak awal Januari 2023.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kelangsungan bekalan ini bergantung kepada keadaan semasa di Sungai Muda.
“Bekalan dijangka tidak terjejas dalam masa terdekat, dengan syarat tiada pelepasan air berskala besar dari Sungai Muda seperti yang pernah berlaku pada Mac lalu yang berisiko menyusutkan simpanan Empangan Beris lebih awal,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sehingga 15 April 2026, data menunjukkan paras simpanan air di tiga empangan utama Pulau Pinang masih berada pada tahap yang meyakinkan melalui inisiatif Program Double Dam Defence Pulau Pinang (D3PI).
Buletin Mutiara dimaklumkan bahawa paras simpanan air di Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) adalah 91.6 peratus; manakala di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam masing-masing adalah 79.33 peratus dan 61.0 peratus.
Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata keutamaan buat masa ini adalah memastikan aliran Sungai Muda mencukupi untuk keperluan Pulau Pinang dan Kedah sehingga paras Empangan Muda serta Empangan Beris kembali ke tahap selamat.
Meskipun kedudukan air terkini adalah stabil, beliau menambah bahawa PBAPP mengingatkan warga Pulau Pinang agar tidak leka, memandangkan faktor perubahan iklim yang menjadikan musim hujan kini sukar diramal.
Berdasarkan statistik tahun 2025, beliau memberitahu bahawa penggunaan air domestik merangkumi 55.7 peratus (482 juta liter sehari, JLH) daripada keseluruhan penggunaan air negeri yang mencecah 865 JLH.
“Pengguna domestik amat digalakkan untuk mengurangkan penggunaan di rumah. Langkah kecil ini penting bagi memastikan bekalan air kita sentiasa mencukupi untuk menyokong aktiviti sosioekonomi, terutama ketika berdepan cuaca panas berpanjangan,” ujar beliau.
Orang ramai yang ingin mendapatkan tips penjimatan air secara praktikal boleh melayari laman sesawang rasmi di www.pba.com.my.
Teks & Gambar: SUNARTI YUSOFF