Projek air lebih RM800 juta perkukuh jaminan bekalan air Pulau Pinang

Admin
88dd8f84 ff0b 4889 8ca1 60ccbe17e2c9 870x522

GEORGE TOWN – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kini giat merancang serta melaksanakan projek bekalan air yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dengan anggaran kos melebihi RM800 juta di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. K. Pathmanathan berkata, inisiatif berkenaan merangkumi beberapa pembangunan infrastruktur air kritikal, termasuk pembinaan saluran paip baharu bagi meningkatkan kapasiti pelepasan maksimum Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) daripada 600 juta liter sehari (JLH) kepada 1,000 JLH.

Menurut beliau, Bahagian Bekalan Air (BBA) PETRA sedang melaksanakan lima projek utama, termasuk pembinaan baraj baharu Sungai Muda di Rantau Panjang, Seberang Perai Utara (SPU) dengan kos RM175 juta yang dijangka siap pada tahun 2027.

“Baraj baharu ini akan menggantikan struktur lama yang telah beroperasi sejak 1973, selain berfungsi menghalang kemasukan air laut, mengawal paras sungai serta meningkatkan kecekapan abstraksi air bagi Pulau Pinang dan Kedah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, Pathmanathan memaklumkan bahawa projek akhir Pelan Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) melibatkan pembinaan Rumah Pam Air Mentah Lahar Yooi berkapasiti 440 JLH serta saluran paip aliran dua hala berkapasiti 400 JLH dengan kos RM214 juta, yang dijangka siap pada tahun 2028.

img 20260415 wa0044

 

Katanya, sistem tersebut membolehkan pengisian semula EMD dilakukan dengan lebih efisien ketika musim hujan, selain meningkatkan kapasiti pelepasan air semasa musim kering, sekali gus memperkukuh peranan empangan itu sebagai sumber air sandaran kepada Sungai Muda.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa projek sumber air mentah di Sungai Kerian di Seberang Perai Selatan (SPS) bernilai RM419 juta kini berada pada peringkat kajian kebolehlaksanaan yang dijangka dimuktamadkan pada tahun 2026.

“Inisiatif ini melibatkan pembesaran Empangan Bukit Panchor dan pembinaan skim takungan air pinggiran sungai (TAPS) bagi meningkatkan bekalan air di SPS sehingga projek air Perak – Pulau Pinang (P-PWP) beroperasi sepenuhnya,” ujarnya.

Tambah beliau, kerja-kerja pembinaan muka sauk air di Titi Kerawang dan Teluk Awak berhampiran Teluk Bahang dengan kos RM26.5 juta, yang dijangka siap pada tahun 2029, akan membantu mempercepat pengisian Empangan Teluk Bahang, sekali gus meningkatkan prestasi bekalan air di daerah Barat Daya.

img 20260415 wa0045

Pada masa sama, satu kajian komprehensif sumber air mentah bernilai RM3 juta turut dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun 2029 sebagai rujukan utama dalam perancangan projek bekalan air masa hadapan negeri.

Mengulas lanjut, Pathmanathan menegaskan bahawa projek Persekutuan ini merupakan pelengkap kepada Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) PBAPP bernilai RM2.1 bilion serta projek P-PWP.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETRA atas komitmen melaksanakan projek tambahan tersebut demi memperkukuh jaminan bekalan air negeri.

“Pulau Pinang berdepan tekanan sumber air yang terhad, namun mempunyai potensi sosioekonomi yang besar.

“Justeru, kerjasama berterusan semua pihak amat penting bagi memastikan kelestarian bekalan air selaras dengan Visi Penang2030,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: PBAPP