Bekas pemain bola sepak kebangsaan sakit jantung terima sumbangan Zakat Pulau Pinang, ADUN

SEBERANG JAYA – Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Salahuddin Che Ros, 50, yang sedang gigih mendapatkan sumbangan orang ramai untuk mengubati sakit jantung beliau, turut memperoleh perhatian daripada Zakat Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Petang tadi, Ketua Bahagian Perhubungan Korporat Zakat Pulau Pinang, Khairol Azhar Zulkifli sendiri mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin menyerahkan baucer zakat sejumlah RM6,000 kepada penerima.

Bercakap kepada pemberita, Khairol Azhar berkata, penerima pada tahun 2016 pernah menerima RM6,000 baucer zakat.

“Selain pemberian baucar, petang ini adalah kali yang kedua, penerima turut menerima sumbangan zakat tiap-tiap bulan sejumlah RM400,” jelasnya ketika melawat kediaman Mohd. Salahuddin dekat Apartment Permata, Bandar Baru Perda di sini 17 Januari 2019.

Dalam pada itu, Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan menyatakan bahawa pihaknya berhasrat untuk berbincang dengan doktor pakar berwajib untuk memudahkan proses rawatan lanjutan Mohd. Salahuddin di Hospital Pulau Pinang (GH), George Town.

Menurut Mohd. Salahuddin yang ditemui kemudian berkata, beliau kini memang menghadapi kesukaran daripada segi duit ringgit, untuk membeli ubat serta mendapatkan rawatan berwajib di Institut Jantung Negara (IJN).

“Nak pasang ‘bateri’ pada jantung sahaja menelan belanja sebesar RM84,000…saya memang tak ada duit sebanyak itu, itu belum masuk belanja hampir RM2,000 untuk sesi rawatan susulan, beli ubat di IJN dan lain-lain makanan tambahan.

“Dahulu, waktu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) mendapat geran RM3 juta tiap-tiap tahun, saya boleh dapatkan GL (Surat Jaminan) dan guna GL itu untuk mendapatkan rawatan di hospital, kalau habis peruntukan RM20,000 umpamanya, saya boleh memohon peruntukan lain untuk rawat sakit saya.

“Tapi, YAKEB sejak bulan Jun tahun lepas (2018) dikatakan tak ada lagi peruntukan untuk kebajikan kira-kira 2,700 bekas atlet kebangsaan, maka bekas pemain bola kebangsaan seperti saya pun perlu mencari sumber duit sumbangan lain untuk membiayai kos perubatan saya yang memang tinggi.

“Saya sangat berterima kasih atas rombongan YB (Afif) dan pegawai Zakat Pulau Pinang, dengan memberi sumbangan zakat dan barang-barang lain…sumbangan ini memang mengurangkan beban hidup saya sekeluarga, terutama tiga anak perempuan saya,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan atas cakna Kerajaan Negeri dan Zakat Pulau Pinang.

Walaupun keadaan kesihatan diri masih belum pulih, Mohd. Salahuddin memberitahu bahawa beliau sedang berusaha mendapatkan Lesen C Jurulatih, untuk menjana pendapatan tambahan untuk keluarga serta memenuhi jadual rawatan lanjut sakit jantung.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB