Ketua Menteri dilantik Yang di-Pertua Majlis Pengakap Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini secara rasminya dilantik sebagai Yang di-Pertua Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang (MPNPP).

Watikah pelantikan disampaikan oleh Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dr. Shafie Mohd. Salleh diiringi Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin dalam majlis ringkas sempena kunjungan hormat Persatuan itu terhadap Ketua Menteri di Komtar sebentar tadi.

 

Turut dilantik, Datuk Dr. Sr. Mohd. Farid Saad sebagai Naib Yang di-Pertua MPNPP, Lee Toon Leon (Pengerusi MPNPP), Kam Woi Chee (Setiausaha Kehormat MPNPP) serta Ong Ewe Keat (Bendahari Kehormat MPNPP).

Selain itu, delegasi seramai 25 wakil tersebut turut membincangkan mengenai masalah untuk mendapatkan tapak perkhemahan di negeri ini.

“Amat membanggakan kerana Persatuan Pengakap sebenarnya bermula di Pulau Pinang tetapi sehingga kini masih kita masih belum ada tapak perkhemahan di negeri ini.

“Justeru, pihak persatuan memohon jasa baik Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah tapak perkhemahan di Pulau Pinang bagi membolehkan aktiviti-aktiviti pengakap dapat dijalankan,” ujar Mohd. Salleh yang mengetuai rombongan tersebut.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyatakan kesediaan beliau sebagai Ketua Menteri untuk menyalurkan bantuan dan bekerjasama kepada Persatuan khususnya berhubung isu dibangkitkan.

“Saya mengalukan-alukan cadangan daripada pihak Majlis untuk mendapatkan tapak perkhemahan di negeri ini bagi menjalankan pelbagai aktiviti, dan perkara ini akan diteliti dengan kadar segera,” jelasnya.

Turut serta, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING