Bekerjasama tangani kes-kes jenayah melibatkan murid sekolah, kata ADUN

Admin

BATU LANCANG – Program Pendidikan dan Kerjaya Murid 2019 merupakan salah satu daripada komitmen Pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Lancang dalam usaha menangani kes-kes jenayah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Ong Ah Teong berkata, program berbentuk taklimat tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid-murid tentang jenayah dan hukuman berdasarkan kesalahan dilakukan.

“Penglibatan golongan muda dalam kegiatan salah laku disiplin merupakan perbuatan yang perlu dilihat secara serius oleh semua pihak.

“Gejala ini boleh memberi impak negatif terhadap usaha kerajaan sekiranya tidak ditangani pada peringkat awal.

“Justeru, fokus program ini sememangnya tepat kerana golongan sasar (murid-murid) amat penting bagi menjayakan visi untuk mewujudkan masyarakat bermoral dan berintegriti,” katanya semasa merasmikan program berkaitan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, SAC Dato’ Mohamad Anil Shah Abdullah; Timbalan Penguasa Penjara Reman Pulau Pinang, Mohd. Nizam Nazri dan Timbalan Ketua Polis Daerah (I) Timur Laut, SUPT Izwan Abd. Karim.

Turut serta, Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan Timur Laut, Haffizie Yahya; Penyelia Kanan Unit Pendidikan Pencegahan Dadah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut, Jalil Abdul Karim; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Thoy Siew Peng dan Pengetua SMJK Heng Ee, Loh Soo Ping.

Mengulas Lanjut, Ah Teong memberitahu bahawa pihaknya akan sentiasa kerjasama dengan semua pihak dalam usaha menangani kes-kes jenayah melibatkan murid sekolah secara holistik dan kolektif.

Sementara itu, Dato’ Mohamad Anil yang turut berucap berharap agar pihak sekolah dapat mewujudkan Badan Beruniform Kadet Polis yang dilihat mampu mendisiplinkan para murid.

“Badan Beruniform (Kadet Polis) yang murid sertai memberi kesinambungan kepada mereka untuk terus menyertai aktiviti itu seperti Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) ataupun Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) semasa mereka melanjutkan pelajaran kelak.

“Saya juga menggalakkan pihak sekolah untuk memperkasakan lagi Kelab Pencegahan Jenayah supaya terus bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti di sekolah,” katanya yang juga merangkap Naib Pengerusi I Yayasan Pencegahan Jenayah Negeri Pulau Pinang.

 

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI