Kerajaan Negeri pantau situasi semasa perairan negeri sejak April – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memantau situasi semasa perairan negeri susulan kejadian angin kencang dan laut bergelora yang berlaku sejak April lalu di sini.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh menyatakan bahawa selain mengadakan pemantauan secara berkala sejak April 2019, Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan jabatan berkaitan di beberapa negeri termasuk Perak, Selangor dan Johor.

“Fenomena angin kencang berserta laut bergelora tahap merah (Kategori Ketiga) yang berlaku baru-baru ini dipercayai berpunca daripada kejadian taufan (Taufan Lekima).

“(Fenomena ini) juga telah menyebabkan bronok (sejenis hidupan laut seakan-akan gamat) memenuhi kawasan berselut dan pesisir pantai di Langkawi (Kedah).

“(Dan) pagi ini, pihak Kerajaan Negeri turut menerima laporan ikan mati di Perak yang dipercayai berpunca daripada perubahan kualiti air laut.

“Kita (Kerajaan Negeri) juga mengesan terdapat beberapa kawasan di (pesisir pantai) Batu Feringghi yang menjadi tumpuan (berlakunya) fenomena arus deras dan ombak kuat,” ujarnya sebagai respons terhadap pertanyaan wartawan pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar tengah hari ini.

PHEE Boon Poh.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy serta barisan Exco Kerajaan Negeri lain.

Susulan laporan media yang dipetik melaporkan kejadian air pasang yang melanda telah menyebabkan perairan di Teluk Bahang dan Teluk Kumbar kelihatan tercemar, Boon Poh memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan pensampelan dilakukan.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil sampel air di kawasan berkaitan, dan laporan akhir hanya akan siap dalam tempoh dua minggu.

“Walaupun terdapat badan bukan kerajaan (NGO) yang menyiarkan keadaan air dipercayai tercemar di media sosial, tetapi situasi keesokannya (mendapati) air di kawasan tersebut sangat bersih,” ulasnya.

Tambah Boon Poh, walaupun kehadiran alga dikesan di perairan Pulau Pinang, namun ia tidak berbahaya dan (alga) didapati ‘terhanyut’ dari negara luar.

Apabila ditanya sama ada perairan di kawasan tersebut selamat untuk pelancong, Boon Poh memberitahu bahawa buat masa ini ia selamat untuk aktiviti air.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora membabitkan kawasan perairan sehingga ke barat Phuket dan utara Palawan yang mana Kategori Ketiga (tahap merah) dikesan di perairan barat Phuket, timur laut Condore dan utara Reef North sehingga 31 Ogos 2019. Manakala bagi Kategori Kedua (tahap jingga) dikesan sehingga ke utara Palawan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD