Belanjawan 2019 Pusat: Ekonomi Keusahawanan diterajui sektor swasta, kata Guan Eng

BAYAN LEPAS – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu bahawa model ‘Ekonomi Keusahawanan’ negara yang dilaksanakan berdasarkan Belanjawan 2019 Pusat bakal diterajui oleh sektor swasta.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menjangkakan ekonomi negara bagi tahun 2019 bertumbuh sekurang-kurangnya 5 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sungguhpun defisit fiskal pada tahun 2018 dijangka mencapai 3.7 peratus.

“Pembangunan ekonomi dapat diteruskan, itulah sebabnya (pelaksanaan) defisit fiskal, kita mahu berdepan dengan masalah-masalah (kekangan kewangan) yang berlaku.

“Kita pun mahu pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 5 peratus, itu sebabnya defisit fiskal 3.7 peratus.

“Bagaimana kita nak cetuskan pertumbuhan ekonomi… anggaplah Malaysia sebagai sebuah ‘Ekonomi Keusahawanan’ yang mana ia akan dipandu atau digerakkan oleh sektor swasta.

“Marilah memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan dipandu oleh sektor swasta.

“Kita (Kerajaan) tetap akan melabur, tapi kita mahu sektor swasta pun sama-sama melabur, nak uruskan projek (pembangunan negara) ini,

“Maka, barulah dapat memastikan Kerajaan tak perlu bayar kos-kos operasi (OpEx), sebaliknya ia akan ditanggung oleh sektor swasta.

“Dan, pada masa sama, sektor swasta dapat untung kalau ada untung, rugi dia akan tanggung sendiri,” jelas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan dalam Majlis Taklimat Khas Belanjawan 2019 dekat Hotel Equatorial di sini pada 7 November 2019.

Pada 2 November lalu, beliau ketika membentangkan Belanjawan 2019 Pusat di Dewan Rakyat memberitahu bahawa sasaran 2.8 peratus defisit fiskal bagi tahun ini adalah tidak realistik, melainkan Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan meneruskan amalan menyorok perbelanjaan negara secara ‘off-balance sheet’.

Justeru, Guan Eng menjelaskan Kerajaan Persekutuan hari ini terpaksa merunding semula dengan pihak berkepentingan bagi fasa dua transit aliran deras (MRT II) dan fasa ketika transit aliran ringan (LRT 3) yang dalam projek pemajuan, selain membatalkan beberapa projek mega lain iaitu Kereta Api Laju Kuala Lumpur – Singapura (HSR), MRT III dan Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL).

“Untuk tiga tahun akan datang, pentadbiran Pakatan Harapan dalam melaksanakan langkah konsolidasi fiskal untuk mengurangkan defisit kepada 3.4 peratus daripada KDNK pada 2019, 2020 (3 peratus) dan 2021 (2.8 peratus).

“Dalam jangka masa sederhana, defisit dijangka terus berkurangan kepada sekitar 2 peratus.

“Demi kejayaaan Ekonomi Keusahawanan, pihak swasta mesti mengambil peranan yang lebih besar, dalam menerajui pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.

Guan Eng dalam pada itu turut mengumumkan langkah galakan sektor eksport menerusi pembiayaan oleh EXIM Bank dengan menawarkan kemudahan kredit dan pelindungan takaful kepada pengeksport Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berjumlah RM2 bilion.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN