Belanjawan 2019 Pusat sebut peruntukan secara umum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu susulan lanjut – Kon Yeow

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan membuat susulan lanjut mengenai beberapa projek tebatan banjir yang telahpun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri mohon daripada Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2019.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbentangan Belanjawan 2019 Pusat yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 November lalu.

“Kadang-kadang belanjawan yang diumumkan, ia hanya angka peruntukan yang besar… tak ada disebutkan apakah peruntukan yang bukan sahaja Pulau Pinang akan dapat, malah negeri-negeri lain juga.

“Jadi, daripada (angka) peruntukan yang besar ini, Kerajaan Negeri bolehlah memohon bajet, dan boleh dapat (untuk pelaksanaan) satu-satu projek.

“Sebagai contoh, (angka peruntukan sebesar RM10 juta) untuk pembinaan 50 taman asuhan kanan-kanak (TASKA), kalau kita memohon, kita berpeluang untuk dapat (peruntukan Persekutuan itu).

“Jadi, mana-mana perkara yang disebutkan dalam belanjawan adalah relevan untuk dimohon peruntukan yang diperlukan itu, untuk melaksanakan projek (di negeri ini),” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong dalam sidang media pada 5 November 2018.

Sebelum itu, beliau menyempurnakan acara perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Tebatan Banjir Bayan Baru di sini.

Turut berucap dalam majlis itu, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Mohd. Azmin Hussin.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim; dan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang turut sertai majlis rasmi Kerajaan Negeri itu.

Mengulas mengenai belanjawan tahunan Persekutuan lagi, Kon Yeow memberitahu pemberita mengenai JPS negeri telahpun memohon kira-kira RM28 juta daripada Kerajaan Pusat untuk pelaksanaan tiga projek perparitan pada tahun 2019, iaitu di Pondok Upeh, Teluk Kumbar dan Teluk Bahang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU MD. RADZI
Video : LAW SUUN TING