RM20.1 juta projek negeri tingkatkan daya tahan Bayan Baru hadapi perubahan iklim, risiko banjir – Kon Yeow

BAYAN LEPAS – Projek Tebatan Banjir Bayan Baru yang menelan belanja RM20.1 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun bakal meningkatkan lagi daya tahan penduduk menghadapi risiko bencana di sekitar kawasan ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, projek berimpak tinggi itu merupakan salah satu daripada lapan projek bernilai RM150 juta hasil sumber peruntukan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

“Melalui projek seperti (projek) tebatan banjir di kawasan Bayan Baru ini, kita (Kerajaan Negeri) berharap dapat membina daya tahan kita, supaya kita dapat mengurangkan impak kepada bencana yang mungkin berlaku akibat daripada perubahan iklim,” jelasnya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Tebatan Banjir Bayan Baru di sini pada 5 November 2018.

Turut berucap, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Mohd. Azmin Hussin.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim dan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang turut sertai majlis rasmi Kerajaan Negeri itu.

Ketika berucap, Zairil memberitahu, majlis pecah tanah hari ini adalah signifikan kerana genap setahun bencana banjir besar melanda negeri ini, iaitu pada 4 dan 5 November 2017.

Tambah beliau, komponen pemajuan dalam projek tebatan banjir Bayan Baru yang akan dilaksanakan tersebut adalah terdiri daripada sebuah rumah pam berkapasiti 12 meter padu per saat, collector drain sepanjang 1,250 meter (m), naik taraf road side drain sepanjang 140 m.

“Keempat-empat komponen ini akan membantu mengurangkan banjir yang sering berlaku di Jalan Mahsuri, Persiaran Mahsuri 1, Persimpangan Jalan Tun Dr. Awang, Jalan Mayang Pasir, Jalan Tengah, Jalan Dato’ Ismail Hashim dan secara tidak langsung akan mengurangkan magnitud banjir hulu Sungai Relau,” ujar Zairil.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU MD. RADZI
Video : LAW SUUN TING