Program Mempelai Emas, Tabung Pembangunan Sosial Negeri dan konsep co-living inisiatif baharu santuni kebajikan rakyat

18b0b7d6 89fd 40e3 8bbd f80463f64ce2

GEORGE TOWN – Mulai tahun 2027, Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan Program Mempelai Emas dengan sumbangan RM500 secara one-off kepada pasangan baharu yang mendirikan rumah tangga di Pulau Pinang dan memenuhi syarat-syarat kelayakan ditetapkan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, inisiatif baharu menerusi peluasan Program i-Sejahtera itu merupakan antara usaha memperkukuh kebajikan rakyat, selain mengekalkan komitmen peruntukan sebanyak RM58 juta bagi keseluruhan program-program berkenaan.

“Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi Bantuan Kewangan Kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES).

“Selain itu, buat julung kalinya, Tabung Pembangunan Sosial Negeri Pulau Pinang turut diperkenalkan mulai 2027 dengan peruntukan RM350,000 bagi menyokong pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan sosial, khususnya untuk membantu golongan rentan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Tahun 2027 semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat DUN Ke-15 di sini sebentar tadi.

Sementara itu, menurut Kon Yeow, agenda perumahan negeri terus memperlihatkan perkembangan positif apabila sebanyak 176,457 unit Rumah MutiaraKu telah disediakan sehingga kini, bersamaan 80.21 peratus daripada sasaran 220,000 unit menjelang tahun 2030.

“Sebanyak 22 projek pembangunan turut dikenal pasti di bawah Pelan Induk Perancangan Pembangunan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) 2021 hingga 2030, melibatkan 13 projek Rumah MutiaraKu dan sembilan projek Pembaharuan Semula Bandar yang dijangka menyediakan 18,342 unit kediaman.

“Bagi memenuhi keperluan perumahan semasa, LPNPP juga akan meneroka konsep co-living bagi unit Rumah Sewa Kerajaan Negeri dan Program Perumahan Rakyat yang bersesuaian pada tahun 2027, khususnya untuk golongan bujang dan warga emas yang tinggal bersendirian,” jelasnya.

Dalam aspek pembangunan modal insan, Kon Yeow menyatakan bahawa Penang Chip Design Academy di bawah ekosistem Penang Silicon Design @5KM+ mencatatkan kadar penempatan pekerjaan sebanyak 85 peratus melibatkan 675 peserta sehingga awal September 2026.

“Para peserta adalah terdiri daripada graduan baharu dan tenaga kerja industri yang mengikuti latihan dalam bidang kritikal reka bentuk cip termasuk Physical Design, Design Verification, Custom Layout dan Analog Circuit Design.

“Serentak itu, usaha membangunkan bakat teknologi turut diteruskan melalui Penang STEM Talent Blueprint 2026–2030 dengan peruntukan RM850,000 kepada Tech Dome Penang dan RM700,000 kepada Penang STEM bagi tahun 2027.A,” ujarnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SIEW CHIA EN & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS