Belanjawan defisit demi bela kebajikan rakyat hadapi krisis COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memilih untuk membentangkan belanjawan defisit bagi tahun 2021 demi membela kebajikan rakyat ketika menghadapi krisis pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peningkatan defisit belanjawan 2021 berjumlah RM403.80 juta bagi tahun adalah disumbangkan oleh jumlah pemberian dan kenaan tetap sebanyak RM532 juta.

“Jika diamati, sekiranya jumlah besar ini tidak diperuntukkan dalam Belanjawan 2021, maka kita mampu membentangkan belanjawan lebihan.

“Justeru, di sini Kerajaan negeri telah membuktikan komitmen untuk melindungi kebajikan rakyat untuk berdepan dengan keadaan ekonomi mencabar ketika ini,” katanya semasa sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan juga ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin mengenai komitmen Kerajaan Negeri untuk mengurangkan defisit Kerajaan Negeri.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri membentangkan belanjawan defisit setiap tahun namun berupaya mendapatkan lebihan kecuali pada tahun 2018.

“Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai pilihan untuk membentangkan belanjawan lebihan pada 2021, tetapi kita (Kerajaan Negeri) tidak berhasrat untuk berbuat demikian dengan mengkrompomi janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat di negeri ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang membentangkan belanjawan sebanyak sebanyak RM909.82 juta untuk perbelanjaan mengurus manakala RM294,106,207 bagi projek pembangunan pada tahun 2021.

Dengan jumlah anggaran hasil yang dikumpul sebanyak RM506.02 juta, ia menjadikan Belanjawan 2021 mencatatkan defisit sebanyak RM403.30 juta iaitu lebih tinggi berbanding dengan unjuran defisit tahun 2020 berjumlah RM273.5 juta.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU ADMAD RADZI