Permohonan baharui permit kuari boleh ditolak sekiranya lokasi tidak sesuai

Admin

GEORGE TOWN – Pihak Berkuasa Negeri boleh mempertimbangkan untuk menolak permohonan bagi pembaharuan permit bahan batuan (Permit 4C) bagi kawasan kuari di Bukit Juru sekiranya aktiviti tersebut tidak sesuai dijalankan di lokasi berkaitan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai respons kepada permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung sebelum ini.

“Proses bagi memperbaharui Permit 4C perlu melalui beberapa peringkat iaitu pihak kuari dikehendaki membuat permohonan di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

“Kemudian pihak PDT akan memproses permohonan tersebut dengan memohon ulasan daripada jabatan-jabatan teknikal berwajib sebelum dihantar ke Pejabat Tanah dan Galian bagi pertimbangan Jawatankuasa Bahan Batuan Negeri bersama syor Pentadbir Tanah.

“Permohonan ini seterusnya akan diangkat untuk pertimbangan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri (MJKTN) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco),” katanya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sebentar tadi.

Terdahulu, Hsiao Leung memohon kepada Kerajaan Negeri supaya tidak memperbaharui permit kuari di Bukit Juru kerana memberi impak kepada alam sekitar serta kesihatan dan keselamatan penduduk.

Menurut Kon Yeow, permit pengeluaran permit 4C bagi kawasan kuari di Bukit Juru masih lagi aktif dan akan tamat pada 31 Disember 2020.

“Justeru, keputusan mengenai kebenaran memperbaharui Permit 4C tersebut akan diputuskan selepas mengambil kira ulasan daripada jabatan teknikal berkaitan serta syor Jawatankuasa Bahan Batuan dan MJKTN apabila permohonan diterima kelak,” tambahnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI