GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM1.088 bilion bagi Belanjawan Negeri Tahun 2026, menjadikannya antara belanjawan terbesar dengan catatan defisit RM19.92 juta yang disifatkan sebagai terendah dalam sejarah Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa belanjawan kali ini dirangka bagi memastikan pengurusan fiskal negeri kekal berhemah, mampan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat selaras dengan Visi Penang2030 dan aspirasi Malaysia Madani.
Beliau memaklumkan bahawa daripada jumlah keseluruhan RM1.088 bilion, sebanyak RM1.051 bilion diperuntukkan bagi Perbelanjaan Bekalan dan RM37.07 juta untuk Perbelanjaan Tanggungan.
“Selain itu, sebanyak RM265 juta disalurkan ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri (KWPN) bagi menampung komitmen pembangunan berjumlah RM318.62 juta.
“Dengan mengambil kira anggaran hasil negeri RM1.068 bilion berbanding anggaran perbelanjaan sebanyak RM1.088 bilion, belanjawan tahun 2026 menyaksikan anggaran defisit terendah dalam sejarah Belanjawan Negeri Pulau Pinang iaitu sebanyak RM19.92 juta berbanding unjuran defisit tahun 2025 (RM33.63 juta),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada 14 November 2025.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menjelaskan bahawa sebanyak RM226.73 juta atau 20.84 peratus daripada Perbelanjaan Mengurus adalah melibatkan emolumen; perkhidmatan dan bekalan (RM200.51 juta, 18.43 peratus); aset (RM3.59 juta, 0.33 peratus); pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM645.73 juta, 59.35 peratus) dan perbelanjaan lain (RM11.38 juta, 1.05 peratus).
“Secara perbandingan, anggaran Perbelanjaan Mengurus tahun 2026 menunjukkan peningkatan RM147.72 juta atau 15.71 peratus berbanding tahun 2025,” katanya.

Beliau menambah bahawa peningkatan emolumen sebanyak RM19.9 juta atau 9.25 peratus berbanding tahun 2025 adalah disebabkan oleh pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) melibatkan pelarasan gaji antara tiga hingga tujuh peratus, serta kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700.
Dari segi anggaran perbelanjaan pembangunan, Kon Yeow memaklumkan bahawa sebanyak 122 projek sambungan akan diteruskan termasuk projek berimpak tinggi yang melibatkan kepentingan strategik.
Ini termasuk pengambilan tanah bagi pelaksanaan projek transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara, projek Gurney Bay Fasa 2, pembangunan Pulau Silikon serta projek sambungan di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
“Antara projek pembangunan lain yang disenaraikan pada tahun 2026 juga adalah projek pembesaran Muzium dan Balai Seni Lukis Pulau Pinang, projek kemajuan Bukit Bendera, projek pembinaan bangunan asrama Majlis Sukan Negeri dan pembinaan bangunan baharu Mahkamah Rendah Syariah Timur Laut.
“Selain itu, projek pembinaan dewan komuniti seperti Dewan Batu Maung, Dewan Kampung Baru Alma dan Dewan Taman Senangin turut disenaraikan sebagai projek sambungan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan 10 projek utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM283 juta.
Daripada jumlah tersebut, jelas beliau, sebanyak RM54.5 juta adalah untuk pelaksanaan projek infrastruktur strategik seperti kajian Pan Island Link (PIL), kerja awalan projek naik taraf jalan dari Bayan Lepas ke Teluk Kumbar, projek menaik taraf muka sauk di Titi Kerawang dan Teluk Awak, pembinaan klinik kesihatan baharu di Kubang Semang serta pembinaan blok bertingkat Hospital Kepala Batas.
Selain itu, ia turut merangkumi kerja-kerja menaik taraf Kompleks Sukan Bertam, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Juru, kerja awalan jalan bawah menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma, kajian kemungkinan pembangunan pelabuhan tuna dan pemerkasaan pasar nelayan.
“Kelulusan serta komitmen ini jelas mencerminkan keprihatinan serta sokongan padu Kerajaan Persekutuan terhadap Pulau Pinang dalam memastikan pembangunan negeri terus seiring dengan agenda pembangunan nasional di bawah kerangka Malaysia Madani,” katanya lagi.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: SIEW CHIA EN & DARWINA MOHD. DAUD