Belum tiba masanya Pulau Pinang nak laksana PKPD seperti Kedah, respons Kon Yeow

KETUA Menteri dalam sidang media sini pada pagi tadi.

PENANTI – Kerajaan Negeri Pulau Pinang belum ada cadangan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebagaimana di Kedah kini, ekoran wujudnya beberapa rekod baharu kes positif COVID-19 di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes baharu yang direkodkan semalam di Daerah Barat Daya.

“Setakat ini, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) rasa belum sampai ke peringkat yang mana ada begitu banyak kes, perlu dikenakan PKPD di kawasan berkenaan.

“Kita (Pulau Pinang) belum sampai tempoh untuk mengisytiharkan PKPD disebabkan ada satu kes (baharu) di Barat Daya.

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) berharap Jabatan (Kesihatan Negeri) terus memantau kerana apabila ada kes, mereka (JKNPP) akan membuat jejak kontak (rapat), pemeriksaan sebelum mendapat tahu bilangan (suspek) yang telah dijangkiti,” jelasnya selepas menyempurnakan acara perasmian pembukaan Ladang Vanila Pintar Pertama Malaysia di sini pada 15 Ogos 2020.

Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti; Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Setakat 13 Ogos, COVID-19 di Pulau Pinang telah merekodkan sebanyak 126 kes dengan 121 kes sembuh, satu kematian dan lima kes yang masih aktif.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS