Bencana dan krisis matangkan diri integriti dorong penyempurnaan tugas lebih terperinci

TRAGEDI kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Pulau Burung dekat Jalan Byram pada 12 Januari 2022, memberi pengalaman paling bermakna dan tidak dapat dilupakan seumur hidup buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, JASON H’NG MOOI LYE.

 

Lebih kurang 28 ekar atau kira-kira 35 peratus daripada luas keseluruhan tapak tersebut telah terbakar dan memberi kesan secara langsung kepada penduduk di dua kawasan perumahan terdekat iaitu Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru.

 

Tidak menafikan, Mooi Lye memberitahu bahawa beliau menghabiskan banyak masa di tapak berkenaan dan kawasan perumahan berdekatan kerana bimbang akan keselamatan penduduk.

 

Manakan tidak, dek kerana kebakaran yang berlanjutan selama dua minggu itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai kawasan bencana Tahap 1.

 

Justeru, penduduk di dua kampung berdekatan tapak pelupusan sampah itu telah diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) rentetan pemantauan julat kualiti pencemaran udara yang dilakukan mendapati bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi.

 

Wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, ALISSALA THIAN sempat menemu bual anak kelahiran Sungai Bakap itu.

 

Menyorot peristiwa, Mooi Lye berkata beliau tidak menang tangan apabila menerima panggilan tanpa henti.

 

“Ketika itu, saya berdepan banyak aduan dan sebagai ADUN di kawasan terjejas, saya memang (berasa) kesian melihat penduduk yang terpaksa menghidu bau busuk asap kebakaran.

 

“Begitu juga dengan pelajar-pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Byram yang tidak dapat meneruskan persekolahan buat sementara waktu.

 

“Sebulan juga saya di sana, bukan sahaja untuk membantu penduduk, tetapi juga memantau dan melaporkan dari masa ke masa keadaan di kawasan tersebut kepada Ketua Menteri,” ceritanya.

 

Di sebalik pandemik dan bencana, menyatukan rakyat

 

Menurut Mooi Lye, selain insiden kebakaran, beliau turut berdepan beberapa siri krisis antaranya jangkitan penyakit demam babi Afrika atau ‘African Swine Fever‘ (ASF), pandemik COVID-19 dan banjir besar yang berlaku pada tahun 2017.

 

“Kes jangkitan ASF yang berlaku sejak awal tahun ini adalah di Sungai Bakap, namun Jawi tetap terkesan kerana berjiran sahaja.

 

“Semasa pandemik COVID-19 yang berlaku pada Mac 2020, sekali lagi saya berdepan detik paling berharga dalam hidup,” katanya.

 

Di Jawi, Mooi Lye menyatakan bahawa pihaknya menubuhkan sebuah pasukan khas dikenali sebagai Pasukan Tindakan Cegah COVID-19 Jawi yang dipimpin oleh kepimpinan tempatan.

 

Berpegang kepada prinsip ‘We Care, We Listen, We Serve’, soal kebajikan dan kesejahteraan sentiasa menjadi keutamaan yang mana jika sesiapa yang memerlukan bantuan dari segi keperluan harian, kaunseling, makanan dan perubatan, kami bantu.

 

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai lagi yang terjejas, bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi juga pendapatan dan pasukan saya bertindak bekerjasama dengan pihak-pihak yang boleh membantu termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO).

 

“Bukan itu sahaja, saya juga ada membelikan dua buah meja pingpong untuk Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Pusat Kecemerlangan MARA (MEC) bagi mereka di pusat berkenaan beriadah.

 

Walaupun sedih apabila melihat ramai yang dalam kesusahan semasa pandemik tetapi pada masa sama saya sangat gembira apabila melihat rakyat Pulau Pinang khasnya di Jawi saling bantu membantu.

 

“Saya melihat sendiri bagaimana bencana dan krisis seperti pandemik COVID-19 telah menyatupadukan rakyat berbilang bangsa di Pulau Pinang,” jelasnya yang mengakui bahawa cabaran-cabaran yang dihadapi mendorong beliau untuk terus komited berkhidmat.

 

Integriti, hala tuju lima tahun 

 

Berpengalaman sebagai ahli perniagaan dalam industri ternakan unggas pada usia muda dan pernah menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 2013, banyak memberi peluang kepada beliau menyelami pengalaman sebenar berurusan dengan orang awam.

 

Mulanya agak canggung, namun Mooi Lye sahut cabaran dan belajar mematangkan diri melalui perkara-perkara baharu setiap hari.

 

Saya suka belajar sesuatu yang baharu dan cuba untuk memahami sesuatu perkara yang dilakukan termasuklah ketika menjadi Ahli Majlis dan kini sebagai Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa.

 

“Saya akan meluangkan masa untuk memahami dan tidak hanya bergantung kepada orang lain semata-mata,” ujarnya yang sedikit terkejut apabila diberi kepercayaan untuk memegang tampuk dua portfolio penting iaitu Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa.

 

Ditanya sama ada tanggungjawab baharu yang digalas berat, Mooi Lye memberitahu bahawa beliau bersedia dan akan berusaha untuk melakukan yang terbaik.

 

“Sebelum ini, semasa menjadi Ahli Majlis pun saya memegang portfolio yang berat iaitu Urusetia Pusat Setempat (OSC) banyak saya pelajari terutama daripada mantan Datuk Bandar, Dato’ Seri Maimunah Mohd. Shariff.

 

“Tidak ada satu perkara di dunia boleh dianggap mudah, semuanya memerlukan daya usaha dan setiap sesuatu ada rintangannya,” responnya yang bakal menggunakan pengalaman sebelum ini sebagai kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab.

 

Paling utama, kata beliau, adalah integriti yang terbukti mampu mendorong seseorang individu itu menyempurnakan apa-apa juga tugas dengan lebih teratur dan terperinci mengikut ruang masa yang relevan.

 

“Saya berharap semua pegawai sama ada di bawah portfolio saya perlu memegang prinsip integriti jika tidak banyak perkara yang tidak seharusnya berlaku akan terjadi,” ulasnya lanjut.

 

Sebelum mengakhiri perbualan, Buletin Mutiara ada bertanyakan sasaran pencapaian untuk tempoh lima tahun ini sebagai Exco, Mooi Lye memaklumkan bahawa beliau mahu memastikan TPS Pulau Burung dan juga TPS Jelutong mempunyai operator baharu yang berwibawa.

 

“Bukan sahaja dari segi kemampuan teknologi dan pengalaman tetapi juga latar belakang kewangan kukuh untuk membolehkan pengoperasian tapak pelupusan sampah yang efisien,” katanya yang juga menetapkan beberapa hala tuju utama untuk portfolio yang digalas kini.