Kembalikan keceriaan Terminal Bas Komtar, Exco rangka tindakan isu gelandangan

PADA 15 September 2023, Exco Pembangunan Sosial Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, LIM SIEW KHIM bersama-sama beberapa kakitangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang menjalankan pemantauan mendekati gelandangan selama tiga hari di Terminal Bas Komtar dan kawasan sekitar.

 

Ketika itu, beliau meminta pihak JKM untuk segera mengambil tindakan dengan menempatkan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan bagi mendapatkan perlindungan sewajarnya di samping memberi rawatan kesihatan melalui jalinan kerjasama dengan pihak Hospital Pulau Pinang.

LIM Siew Khim ketika ‘turun padang’ mendekati gelandangan di Terminal Bas Komtar.

Kemudian pada 24 September lalu, Siew Khim sekali lagi bersama-sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Sr. Cheong Chee Hong dan beberapa penguat kuasa ‘turun padang’ menggempur Terminal Bas Komtar.

 

Kali ini, pihak berkuasa tempatan itu bertindak membersihkan barang-barang yang ditinggalkan oleh gelandangan di kawasan terminal menjadikan keadaan dan suasana terminal bas kini lebih kemas.

PETUGAS Majlis Bandaraya Pulau Pinang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan berjadual di Terminal Bas Komtar.

Pada masa yang sama, beliau juga menasihati individu yang dilihat sedang mengagihkan sumbangan makanan dan minuman kepada gelandangan supaya tidak lagi mengagihkannya di terminal tersebut, sebaliknya meminta mana-mana pertubuhan amal atau individu menghubungi Pusat Transit Gelandangan di Jalan C.Y. Choy sebagai alternatif agihan.

SUASANA ketika waktu makan tengah hari di Pusat Transit Gelandangan dekat Jalan C.Y. Choy.

 

Malah, penguat kuasa juga dilantik untuk ditempatkan di Terminal Bas Komtar selama 24 jam sehari sejak 21 September 2023 bagi memastikan pengagihan makanan kepada gelandangan tidak dijalankan di kawasan tersebut.

 

“Secara jujur saya amat bangga melihat betapa baiknya hati rakyat Pulau Pinang yang sentiasa bersedia membantu golongan yang memerlukan.

 

Namun, dengan memberi makanan kepada gelandangan di sekitar Terminal Bas Komtar mahupun di tepi-tepi jalan di kawasan sekitar bukanlah pendekatan paling efisien atau membantu golongan tersebut dalam jangka masa panjang.

 

“Sebaliknya tindakan memberi makanan di kawasan-kawasan tumpuan seperti di terminal bas di sini akan menjejaskan kebersihan dan menggalakkan lebih ramai gelandangan berhimpun yang akhirnya menyumbang kepada pembaziran makanan melampau.

 

“(Dan) sebagai alternatif, saya memohon mana-mana pertubuhan amal atau individu yang ingin menyalurkan sumbangan makanan atau minuman untuk terus ke Pusat Transit Gelandangan.

 

“Di pusat tersebut, sumbangan akan dikelola dengan lebih sistematik dan pihak pengurusan akan memastikan tiada pembaziran berlaku sekali gus memastikan keperluan semua pihak terjaga,” ujarnya ketika dihubungi.

 

BURUNG merpati yang bersarang di paip saliran di Terminal Bas Komtar.

Menurut Siew Khim lagi, hasil kerjasama strategik antara pihak MBPP dan JKM, kawasan di Terminal Bas Komtar kini bertambah bersih dan ceria.

 

“Selain itu, MBPP juga telah menukar tempat duduk di terminal bas tersebut supaya para penumpang dapat menunggu bas dalam suasana yang lebih selesa.

 

 

MBPP turut memulakan operasi menangkap burung merpati dari terus membina sarang di celah-celah binaan di terminal bas itu, kerana ia menimbulkan kacau ganggu termasuk masalah najis burung kepada orang ramai yang menggunakan kemudahan di situ.

 

“Malah, operasi tersebut juga merupakan sebahagian usaha mengurangkan populasi unggas terbabit di kawasan tersebut.

 

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan bertungkus lumus menjayakan usaha ini, kita akan teruskan momentum ini,” katanya yang akan memperluaskan operasi mengesan ‘hotspot’ gelandangan di sekitar bandar raya ini.

ANTARA yang sempat dirakam lensa Buletin Mutiara di sekitar Jalan Penang.

Tindakan jangka panjang, Siew Khim berhasrat untuk merangka pertemuan dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan bagi melihat peranan yang boleh dilaksanakan oleh setiap agensi dalam memudahkan proses penguatkuasaan dan pengurusan gelandangan di negeri ini.

 

Sementara itu, Pengurus Pusat Transit Gelandangan, NAZATULWANIS MOHD. KHORISH ketika dihubungi memberitahu bahawa sejak dibuka pusat terbabit juga bertindak sebagai pusat pengedaran makanan dan minuman.

 

NAZATULWANIS Mohd. Khorish.

“Di sini (Pusat Transit Gelandangan) boleh menampung seramai 80 penghuni pada satu-satu masa dan kami amat berbesar hati apabila ramai yang memberi sokongan serta menghulurkan bantuan atau sumbangan untuk diagihkan kepada gelandangan.

 

“Bagi mereka yang berminat untuk menyumbang baik dari segi makanan mahupun pakaian atau apa-apa sahaja keperluan lain boleh menghubungi JKM Pulau Pinang di talian 04-650 5259 / 5257 atau emelkan ke pusattransitgelandanganpp@gmail.com.

 

“Kami juga mempunyai laman Facebook iaitu Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang dan Instagram (ptg.penang) untuk memuat naik aktiviti semasa di sini,” jelasnya.

 

Buletin Mutiara difahamkan bahawa terdapat 48 gelandangan telah didaftarkan ke Pusat Transit Gelandangan sejak dibuka.

 

Terdahulu, Buletin Mutiara cuba mendapatkan maklum balas umum mengenai inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengembalikan semula keceriaan di Terminal Bas Komtar sekali gus membendung isu berkaitan gelandangan.

 

Bagi NUR EZRINA ZAINUDDIN, 29, usaha Kerajaan Negeri itu perlu dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.

 

NUR Ezrina Zainuddin.

Pihak berwajib perlu juga melihat dari perspektif gelandangan itu sendiri untuk menjayakan usaha yang dilaksanakan.

 

“Semestinya, ia usaha yang baik memandangkan kawasan tersebut sebelum ini terpalit dengan imej kurang menyenangkan apabila orang luar dari Pulau Pinang terutamanya pelancong asing tengok keadaan di situ.

 

“Tambahan pula, ada dalam kalangan gelandangan tidak endah akan soal kesihatan, kebersihan dan ada juga kurang siuman sehingga menakutkan orang ramai serta menimbulkan rasa kurang senang,” katanya yang kerap kali singgah membeli sarapan pagi di gerai berdekatan terminal bas tersebut.

 

Pegawai Khas kepada Exco, MUHAMMAD SHAHRIZUL MUIZ, 30, berpandangan bahawa isu gelandangan di kawasan Terminal Bas Komtar benar-benar memerlukan perhatian.

 

MUHAMMAD Shahrizul Muiz.

“Komtar merupakan lambang pentadbiran Kerajaan Negeri dan kebanyakan agensi berkaitan kerajaan berada di sini.

 

“Inisiaitif yang dilaksanakan oleh YB Exco amat baik dan diharap dapat menimbulkan kesedaran awam terutamanya kepada  pihak yang ingin memberi sumbangan makanan dan minuman.

 

“Saya percaya dengan tindakan menghalang pengagihan makanan di sini (Terminal Bas Komtar) maka tidak ada makanan dibazirkan atau dibuang tanpa tujuan.

 

“Pihak pengurusan di Pusat Transit Gelandangan akan memastikan makanan diagihkan dengan baik dan selamat serta memberi peluang kepada gelandangan untuk memperbaiki kehidupan sosial mereka,” katanya.

 

Bagi pelatih industri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, M. VEKENESVARAN, 23, inisiatif yang dilakukan oleh Siew Khim adalah yang terbaik dan jelas.

 

M. Vekenesvaran.

“Inisiatif ini merupakan salah satu cara menjaga kebersihan sekitar kawasan Komtar dan dengan cara ini, kita akan dapat melihat ‘wajah baharu’ yang bukan sahaja bersih, malah bebas dari sampah dan sisa.

 

Saya berharap pihak berkuasa tempatan dapat meneruskan pemantauan dan memastikan tindakan diambil kepada pemberi sumbangan makanan dan minuman yang ingkar.

 

“Hal ini demikian kerana, punca utama gelandangan berkumpul adalah individu yang memberi sumbangan di tempat awam bukannya di tempat yang telah dikhususkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

 

Melalui komentar di laman Facebook, sebagai dipetik, NORJAN IBRAHIM memuji tindakan yang dilakukan oleh Siew Khim dan pihak lain yang terlibat.

 

“Saya ada maklum isu ini kepada pihak berwajib sebelum ini namun tidak ada tindakan diambil.

 

“Banyak kotak-kotak dan keperluan mereka (gelandangan) diletakkan di situ, ada yang kencing, muntah malah kucing pun dibela di situ.

 

“Terbaik YB (Siew Khim), prihatin kepada rakyat, dengan cara ini dapat membantu mereka (gelandangan) dan semoga tidak ada lagi gelandangan yang tidur di bawah Komtar selepas ini,” responsnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING