BengkelHijau bentuk komuniti mesra alam

SUNGAI ACHEH – Pengetahuan dan kemahiran dipelajari dalam penganjuran Bengkel Penang Hijau dan Mesra Gender membolehkan para peserta melatih serta mendidik komuniti di sekeliling mereka mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar bagi membentuk komuniti mesra alam dan mesra gender.

Kenyataan tersebut dinyatakan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Sungai Acheh, Azmi Samsudin yang bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan Penang Green Council (PGC) Strategies Sdn. Bhd. berhubung penganjuran program berkaitan di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, bengkel sehari itu adalah aktiviti di bawah Program Bajet Responsif Gender (GRB) dan Program Outreach Komuniti yang bertujuan mendidik, melatih serta mendedahkan peserta wanita mengenai pengetahuan dan kemahiran berkaitan alam sekitar.

“Pembuangan sisa pepejal merupakan salah satu masalah alam sekitar yang kita hadapi di Pulau Pinang dan juga negara.

“Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) mendedahkan bahawa pada 2014, sejumlah 8,000 tan atau 800,000 kilogram sisa makanan dibuang sehari oleh rakyat Malaysia dan jumlah itu mampu menampung bekalan makanan untuk enam juta orang.

“Selain pembaziran, kos pengurusan sisa pepejal termasuk sisa makanan yang dibuang itu juga tinggi sehingga mencecah RM1.6 bilion tahun lepas.

“Oleh itu, saya percaya dengan bengkel sebegini, ia mampu menjana kesedaran untuk mengubah persepsi serta perilaku masyarakat kita supaya menyokong amalan hijau dan seterusnya memastikan matlamat jangka panjang dalam menangani isu-isu alam sekitar tercapai,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara pada penganjuran Bengkel Penang Hijau dan Mesra Gender di sini baru-baru ini.

Seramai 80 peserta dan sukarelawan wanita menyertai bengkel tersebut dengan bimbingan para pegawai dari PGC melalui sesi taklimat dan demonstrasi pengkomposan sisa pepejal.

Dato’ Mansor Othman, Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir merasmikan bengkel tersebut.

Turut sama, ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh.

Selain itu, acara sampingan seperti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak tadika dan sukaneka wanita turut diadakan.