Bentang kajian JPS tangani banjir Jan. ini – Lip Chee

JAWI – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengemukakan kajian serta cadangan menangani masalah banjir kilat di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MKK) paling awal hujung Januari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee berkata, Kerajaan Negeri pada Disember tahun lepas memperuntukkan RM7,000 kepada JPS untuk tujuan itu.

“Saya sedang mendapatkan maklum balas susulan, laporan JPS akan dibentangkan dalam MKK Januari ini,” ujarnya semasa meninjau kawasan terbabit baru-baru ini.

Beliau berkata, laporan itu turut akan menyebut kos pemajuan projek cadangan itu untuk dipertimbang oleh Kerajaan Negeri.

Difahamkan, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memperuntukkan RM2.7 juta untuk tujuan penyelenggara rumah pam, parit monsoon, kolam takungan dengan peruntukan wang caruman yang dipohon daripada Jawatankuasa Tebatan Banjir Kerajaan Negeri.