Perjanjian sepadu khidmat perubatan satu bumbung

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Syarikat korporat, Heng Lee & Company Sdn. Bhd. (HLC) menandatangani perjanjian usahasama dengan HSC Property (Penang) Sdn. Bhd . ( HSCP ) dalam usaha membangunkan sebuah pusat sehenti bersepadu yang menawarkan penjagaan kesihatan dan perubatan di bawah satu bumbung.

Pengarah HLC, Yeap Leong Soon berkata, perkongsian strategik bersama HSCP bukan sahaja bakal menjadikan Menara HSC sebagai sebuah pusat sehenti kesihatan bersepadu pertama di Pulau Pinang, tetapi juga dilengkapi dengan hotel yang mampu menjadi tarikan dalam perkembangan sektor pelancongan perubatan dalam negara.

“Konsep dan rekabentuk pusat sehenti ini telah ditambah nilai jika dibandingkan terdahulu yang hanya pada mulanya sebuah bangunan komersial kosong dan biasa.

“Dengan adanya integriti antara pelancongan dan perubatan, maka pengubahsuaian pelan asal dilakukan sejajar dengan perkembangan dan aspirasi Pulau Pinang ke arah mewujudkan sebuah bandar perubatan menjelang 2015,” ucapnya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Strategik untuk Pembangunan Menara HSC Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Dokumen perjanjian ditandatangani Pengerusi HLC, Datuk Seri Yeap Leong Huat dan Pengerusi HSC Healthcare Group of Companies, Dr. Lim Yin Chow di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

HLC merupakan syarikat tempatan yang beroperasi sejak Januari 1933 dengan mengkhususkan kepada perdagangan beras dan perdagangan am.

Merentasi waktu, syarikat tersebut telah menceburi pelbagai bidang termasuk perbankan, perniagaan, pengurusan hartanah, pendidikan, pengudangan dan terkini pelancongan perubatan serta kesihatan.

Dalam pada itu, menurut Leong Soon, dengan kewujudan Menara HSC Pulau Pinang kelak, dijangkakan kehadiran pesakit dari negara jiran akan meningkat.

Hal ini, katanya, dengan fasiliti kesihatan dan perubatan serta pemeriksaan kesihatan bertaraf antarabangsa menjadikan Menara HSC Pulau Pinang, Jalan Magazine sebagai sebuah pusat kesihatan terulung di Malaysia.

Bagi Pengarah Eksekutif HSCP, Ir. Seth Lim, usahasama tersebut dilihat sebagai penyatuan ulung antara perubatan dan perkhidmatan hospitaliti terulung yang akan meletakkan Pulau Pinang sebagai peneraju pelancongan perubatan di negara ini.

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri kerana merealisasikan aspirasi unggul dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar kesihatan ulung di negara ini,” ujar beliau.