Berat kutipan sampah MPSP berkurangan – YDP

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

SEBERANG JAYA – Berat kutipan sampah direkodkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini mencatatkan penurunan berbanding tempoh sama pada 2015.

Mengulas lanjut, Yang di-Pertua (YDP) MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berharap, tahap kesedaran komuniti Seberang Perai terhadap peri penting amalan kitar semula serta pengasingan sisa di punca (segregation at source) akan terus meningkat, khususnya melalui programprogram kempen yang dilaksanakan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pada 2015, kutipan sampah yang dicatatkan dari Januari hingga Mei adalah berjumlah 189,240.46 tan, manakala bagi tempoh sama tahun 2016, 172, 232.56 tan… mencatatkan penurunan sebanyak 17,008 tan.

“Kita (MPSP) ambil positif kadar kutipan sampah yang berkurangan ini, namun jangan pula kita ‘menambahkan’ sampah dari sudut lain,” ujarnya sejurus selesai mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MPSP di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Bercakap pada sidang media sama, Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MPSP, Mohd. Puad Hamid memberitahu, rekod kutipan bagi Dasar Pengasingan Sisa Di Punca seakan mendapat kerjasama yang menggalakkan daripada pemilik-pemilik premis berwajib.

“Pada minggu pertama, sebanyak 4,891 premis memberi kerjasama dengan kutipan (sisa yang boleh dikitar semula seberat) 4,524 kilogram (kg), minggu kedua (12,689 premis, 6,954kg dan minggu ketiga (8,785 premis, 5,650 kg).

“Minggu keempat belum dapat dipastikan sepenuhnya, tetapi, apa yang saya boleh katakan, kini jumlah beratnya sudah hampir menyamai kutipan minggu ketiga,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad memberitahu bahawa mulai 1 Jun, jadual kutipan bagi sisa yang boleh dikitar semula atau boleh diasingkan adalah pada setiap hari Sabtu, sungguhpun penguatkuasaan sepenuhnya Dasar Pengasingan Sisa Di Punca adalah pada Jun tahun depan. Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta barisan Ahli Majlis bagi MPSP lain turut sertai sidang media itu.

Dalam perkembangan lain, Maimunah memberitahu, MPSP berjaya mendapat pengiktirafan ‘President’s Garden Award’ pada penganjuran Festival Taman dan Bunga, Floria Putrajaya 2016.

“Kita (MPSP) bertanding mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam kategori Taman Negeri sambil menampilkan konsep pameran Ombak Chrysanthemum (kekwa).

“Anugerah tersebut membolehkan MPSP membawa pulang sijil serta trofi,” jelas beliau