Tindakan tegas guna parkir OKU – Ahli Majlis

PADANG KOTA – Sebanyak 243 Pemberitahuan Tentang Kesalahan (PTK) atau saman dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada Januari hingga Mei 2016 atas kesalahan meletak kenderaan di petak parkir khas orang kurang upaya (OKU).

Daripada jumlah tersebut, 220 saman adalah membabitkan jumlah kompaun masing-masing bernilai RM100, kunci tayar atau clamp (14) dan ditunda kerana meletak kenderaan bukan di ruang parkir (9).

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chris Lee Chun Kit berkata, pihaknya memandang serius kesalahan membabitkan kenderaan yang diletakkan di ruang parkir khas.

“Orang ramai dinasihati agar tidak mementingkan diri sendiri dengan menggunakan kemudahan yang dikhaskan untuk OKU demi kepentingan diri sendiri.

“Seseorang yang normal sepatutnya berasa malu apabila menggunakan kemudahan yang dikhaskan untuk golongan lebih memerlukan,” katanya pada Majlis Perasmian Kempen Mesra Kemudahan OKU di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis perasmian berkaitan ialah Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Turut serta, beberapa Ahli Majlis MBPP antaranya, Wong Yuee Harng, Saiful Azwan Abdul Malik, D. R. Kala dan Joseph Ng Soon Siang.

Mengulas lanjut, Chun Kit memberitahu, MBPP berhasrat untuk terus menunda dan mengenakan tindakan tegas terhadap semua kenderaan yang didapati meletakkan kenderaan di parkir OKU.

“Saya hendak jelaskan di sini, dalam tempoh masa tertentu, kita (MBPP) menghadapi masalah kekurangan lori penunda, apabila berhadapan dengan situasi berkaitan, MBPP akan mengenakan tindakan ‘berbeza’ terhadap pesalah trafik ini,’’ jelas beliau.