Berganding bahu, wujudkan masyarakat bebas jenayah seksual kanak-kanak – Exco

Admin

PINANG TUNGGAL – Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gander dan Agama Selain Islam, Chong Eng memberitahu bahawa 95 peratus kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilaporkan di negara ini adalah dilakukan individu dikenali mangsa secara rapat.

Katanya, faktor tersebut menyebabkan kebanyakan daripada mangsa memilih untuk mendiamkan diri demi menjaga nama dan maruah keluarga.

Antara barisan para guru yang hadir pada majlis penyerahan buku Keselamatan Tubuh Badan Kanak-Kanak dekat Pejabat Pendidikan Daerah SPU.

“Kadangkala apabila kita diberitahu oleh kanak-kanak apa yang berlaku ke atas diri mereka, reaksi orang dewasa adalah menganggap mereka mengada-adakan cerita kerana mahukan perhatian.

“Walau bagaimanapun, menurut statistik sebanyak 98 peratus daripada kes yang dilaporkan adalah didapati benar tetapi malangnya hanya 30 peratus orang dewasa mempercayai aduan tersebut.

“Oleh itu, kita seharusnya tidak memandang remeh terhadap aduan yang dibuat kanak-kanak sehingga akhirnya mereka lebih memilih untuk mendiamkan diri,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Buku Keselamatan Tubuh Badan Kanak-Kanak dekat Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara, di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Ismail Mohd. Said; ketua-ketua sektor JPNPP; pegawai-pegawai Pendidikan Daerah serta guru.

Mengulas lanjut, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang memberitahu, satu daripada tiga kanak-kanak perempuan dan satu daripada enam kanak-kanak lelaki di negara ini telah menjadi mangsa penderaan secara seksual.

“Menurut kajian, kanak-kanak yang mengalami penderaan seksual akan menunjukkan tanda-tanda seperti suka berahsia, sering ketakutan, mempunyai pengetahuan seksual melebihi had umur dan lain-lain lagi.

Buku Keselamatan Tubuh Badan Kanak-Kanak diterbitkan oleh Kerajaan Negeri sebagai panduan kepada ibu bapa dan pihak-pihak berkepentingan dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Justeru, marilah kita berganding bahu mewujudkan sebuah masyarakat yang selamat supaya anak-anak kita dapat membesar dalam suasana sihat dari segi fizikal dan emosi.

“Anak-anak adalah masa depan negara dan melindungi anak-anak adalah tanggungjawab kita bersama,” serunya.

Difahamkan, buku Keselamatan Tubuh Badan Kanak-Kanak diterbitkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Tamil dan bahasa Mandarin.

Sehingga kini, sebanyak 90,000 naskhah telah diedarkan kepada 399 buah sekolah di seluruh negeri.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan Salinan buku berkenaan boleh hubungi talian, 04-261 4590/ 04-650 5143.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS