Karnival Rakyat dan Malam Pencak Warisan platform rapatkan hubungan rakyat

Admin
BARISAN pesilat bersedia memperagakan aksi pembukaan sempena Malam Pencak Warisan baru-baru ini.

BAYAN LEPAS – Karnival Rakyat dan Malam Pencak Warisan mampu menjadi platform untuk merapatkan lagi hubungan antara masyarakat dan Kerajaan Negeri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz.

Katanya, kerjasama erat tantara masyarakat dan kerajaan amat diperlukan khususnya dalam menjayakan Visi Penang2030 menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri pintar dan bertaraf antarabangsa.

“Untuk menjayakan visi tersebut, pihak atas (Kerajaan Negeri) perlu bekerjasama dengan yang di bawah (rakyat), visi ini tidak akan berjaya sekiranya tiada kerjasama antara kedua-dua pihak ini.

“Justeru, carnival ini merupakan salah satu platform untuk merapatkan hubungan rakyat dan kerajaan melalui konteks seni, budaya dan warisan,” ujarnya ketika berucap pada majlis berkenaan dekat perkarangan Dewan Gerakan Masyarakat Teluk Kumbar, di sini 20 Julai lalu.

Hadir sama, ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya (DBD), Mohd Hafiz Aswad Nadzri dan wakil dari Pejabat Timbalan Ketua Menteri I.

Tambah Azrul, melalui karnival berkenaan juga, kanak-kanak setempat dapat mengenali permainan-permainan tradisional seperti menarik upih pinang, tuju tin dan lain-lain yang semakin ditinggalkan.

Antara aktiviti diadakan sepanjang program berlangsung termasuklah sukaneka rakyat, tarik tali, gubahan bunga, demonstrasi dan pameran jabatan-jabatan kerajaan, persembahan kompang, kebudayaan dan persembahan oleh 200 orang pesilat.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD