Bermula dengan RM40, Nisa Li Empire kini tembusi pasaran MAHA

img 20261020 wa0037

BERMULA dengan jualan hanya RM40 pada hari pertama berniaga, pengusaha Nisa Li Empire, KHADIJATULHANISAH RASSILI, 41, membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya bermula dengan modal besar, sebaliknya menuntut keberanian untuk mencuba, kesungguhan menimba ilmu dan kecekalan menghadapi kegagalan.

Berbekalkan semangat untuk membantu ekonomi keluarga, wanita kelahiran Batu Kurau, Perak itu memulakan langkah dalam dunia perniagaan pada 2017 dengan menjual otak-otak sebelum beralih kepada nasi ganja ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Walau bagaimanapun, perjalanan yang bermula dengan usaha kecil-kecilan itu tidak sentiasa mudah apabila perubahan permintaan pasaran, cabaran menguruskan keluarga serta tekanan kewangan memaksanya mencari alternatif untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

Siapa sangka, daripada menjual makanan secara kecil-kecilan di tepi jalan dan melalui kaedah penghantaran terus kepada pelanggan (COD), beliau akhirnya berjaya membangunkan produk biskut kacang dengan pelbagai perisa, menembusi pasaran luar Pulau Pinang dan memperoleh peluang menyertai pameran pertanian terbesar negara, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di Serdang, Selangor.

Lebih membanggakan, produk yang pada awalnya sekadar menjadi sumber pendapatan sampingan itu kini mempunyai rangkaian sehingga 200 vendor di Pulau Pinang, dengan kira-kira 100 daripadanya aktif memasarkan produk berkenaan.

Bagi ibu kepada dua orang anak yang kini dibantu suaminya dalam menguruskan perniagaan itu, pencapaian tersebut bukan sekadar ukuran kejayaan dalam dunia keusahawanan, malah bukti bahawa usaha kecil mampu berkembang apabila disertai kesungguhan, ilmu dan sokongan keluarga.

img 20261020 wa0041

Bermula demi keluarga, bertahan demi masa depan

Mengimbas kembali perjalanan awal perniagaannya, Khadijatulhanisah berkata, keputusan untuk berniaga dibuat atas kesedaran bahawa beliau perlu membantu meningkatkan ekonomi keluarga, meskipun pada ketika itu belum mempunyai pengalaman luas dalam bidang keusahawanan.

Beliau memulakan perniagaan dengan menjual otak-otak pada 2017 sebelum mencuba menjual nasi ganja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika itu, permintaan terhadap makanan yang dijualnya agak menggalakkan, sekali gus memberikan ruang untuk beliau mengembangkan jualan melalui kaedah COD dan jualan di tepi jalan.

Namun, perubahan keadaan pasaran sepanjang pandemik memberikan kesan kepada kelangsungan perniagaan makanan yang diusahakannya.

Menyedari keperluan untuk mencari sumber pendapatan yang lebih berdaya tahan, beliau mula beralih kepada pembuatan kuih-muih dan biskut, termasuk biskut semperit sebelum memberikan tumpuan kepada biskut kacang.

“Pada mulanya, saya hanya mahu mencuba untuk memenuhi permintaan semasa musim perayaan.

“Saya tidak pernah membayangkan biskut yang dibuat sekadar untuk menambah pendapatan ini akhirnya boleh berkembang sehingga mempunyai rangkaian vendor sendiri.

“Prinsip saya mudah, bermulalah untuk sempurna, jangan tunggu sempurna baru nak bermula.

“Kalau kita terlalu menunggu semuanya lengkap, kita mungkin tidak akan memulakan apa-apa.

“Jadi, saya memilih untuk mencuba dahulu, belajar daripada kesilapan dan memperbaiki apa yang masih kurang,” katanya ketika wawancara khas bersama wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, MUHAMMAD IQBAL HAMDAN di premis perniagaannya dekat Taman Seri Delima, Simpang Ampat pada 20 Oktober 2026.

Menurutnya, biskut kacang yang diusahakan itu pada asalnya dihasilkan dalam kuantiti kecil sebelum dipasarkan dalam bentuk pek sachet dan balang bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.

Pada peringkat awal, beliau berjaya memperoleh hasil jualan kira-kira RM3,000 dalam tempoh tiga bulan menerusi penjualan biskut kacang dalam pek sachet.

Walaupun jumlah tersebut belum cukup untuk membina perniagaan berskala besar, namun perkara itu telah menjadi suntikan semangat untuk beliau meneruskan usaha dan memperkemas produk agar lebih berdaya saing.

img 20261020 wa0035

Jatuh bangun mengajar erti ketabahan

Di sebalik perkembangan yang dicapai hari ini, Khadijatulhanisah tidak menafikan bahawa perjalanan membangunkan Nisa Li Empire turut disertai pelbagai cabaran, termasuk kelemahan dalam pengurusan operasi, persaingan pasaran dan peningkatan kos perniagaan.

Sebagai seorang ibu dan isteri, beliau juga perlu membahagikan masa antara menguruskan perniagaan dengan tanggungjawab terhadap keluarga, termasuk ketika berdepan keadaan kesihatan mentua yang memerlukan perhatian.

Dalam keadaan tertentu, tuntutan keluarga dan perniagaan yang datang serentak menyebabkan beliau berdepan tekanan emosi, malah ada ketikanya berasa terlalu terbeban dengan tanggungjawab yang perlu digalas.

Namun, beliau memilih untuk tidak menjadikan kesukaran tersebut sebagai alasan untuk berhenti.

Sebaliknya, sokongan suami dan keluarga serta doa menjadi antara sumber kekuatan untuk beliau kembali bangkit setiap kali berdepan kesukaran.

“Perniagaan bukan hanya tentang menjual produk dan mendapatkan keuntungan.

“Banyak perkara yang perlu kita fikirkan, termasuk pengurusan masa, pekerja, pembungkusan, penghantaran dan memastikan pelanggan berpuas hati.

“Ada masanya kita rasa penat dan tertekan kerana terlalu banyak perkara perlu diselesaikan dalam satu masa tetapi saya belajar bahawa kita tidak boleh mengharapkan semuanya menjadi mudah.

“Kita perlu terus belajar, memperbaiki kelemahan dan bergerak sedikit demi sedikit,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa kelemahan dalam disiplin operasi pada peringkat awal memberikan pengajaran besar tentang kepentingan merancang perjalanan perniagaan dengan lebih tersusun.

Pengalaman tersebut menyedarkannya bahawa produk yang baik sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kejayaan sesebuah perniagaan tanpa disokong pengurusan yang cekap, sistem kerja yang teratur dan strategi pemasaran yang bersesuaian.

img 20261020 wa0032

Ilmu pemangkin perkembangan perniagaan

Menyedari kekurangan dari segi pengetahuan dan pengurusan, Khadijatulhanisah mula aktif menyertai kursus serta program pembangunan usahawan anjuran agensi kerajaan sejak awal 2023.

Antara agensi yang memberikan pendedahan dan sokongan kepada beliau termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.

Menerusi penyertaan dalam program berkenaan, beliau bukan sahaja memperoleh ilmu berkaitan pemasaran, malah didedahkan kepada pengurusan rekod perniagaan, komunikasi, penjenamaan dan kaedah menguruskan operasi secara lebih profesional.

Beliau turut menerima bantuan serta geran yang membantu memperkemas aspek pembungkusan dan penjenamaan produk, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk membawa biskut kacang keluar daripada pasaran kecil-kecilan.

Antara perkembangan penting ialah usaha mendapatkan pensijilan halal menerusi Penang Halal International (PHI) bagi produk yang diusahakan serta memperkukuh identiti jenama menerusi bantuan berkaitan pembungkusan dan penjenamaan daripada KEMAS.

Menurutnya, pendedahan yang diterima melalui program agensi kerajaan membuka perspektif baharu bahawa seseorang usahawan perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan tidak boleh hanya bergantung pada pengalaman sendiri.

“Dahulu, saya fikir asalkan produk sedap, orang akan membeli.

“Sebenarnya lebih jauh daripada itu, apabila kita mula berkembang, kita perlu tahu bagaimana hendak menguruskan perniagaan, merekodkan jualan, berkomunikasi dengan pelanggan dan merancang pemasaran.

“Apabila menyertai kursus, barulah saya nampak banyak perkara yang perlu diperbaiki.

“Ilmu itu membantu saya menguruskan perniagaan dengan lebih baik dan memberi keyakinan untuk mengambil pekerja apabila operasi semakin berkembang,” jelasnya lanjut.

Beliau turut menghargai peluang menyertai program dan acara keusahawanan anjuran kerajaan yang membuka ruang untuk memperkenalkan produk kepada pelanggan baharu, selain memberi pendedahan mengenai peluang pembiayaan dan pembangunan perniagaan.

Pengiktirafan sebagai ikon usahawan melalui KEMAS juga menjadi antara pengalaman yang menguatkan semangatnya untuk terus memperluas pasaran Nisa Li Empire.

img 20261020 wa0024

Tampilkan tujuh pilihan perisa

Bagi memastikan produknya mempunyai identiti tersendiri dalam pasaran, Khadijatulhanisah memberikan perhatian terhadap inovasi, ketahanan produk dan kepelbagaian pilihan perisa.

Biskut kacang keluaran Nisa Li Empire dihasilkan dalam bentuk petak atau kiub, berbeza daripada bentuk biskut yang lazimnya terdapat di pasaran.

Menurutnya, reka bentuk tersebut dipilih selepas mengambil kira keperluan menghasilkan biskut yang lebih sesuai untuk pengendalian, pembungkusan dan pengedaran kepada vendor.

Aspek kebersihan turut diberikan perhatian, khususnya bagi memastikan produk dapat dipasarkan dalam keadaan baik serta mengekalkan keyakinan pelanggan.

Selain perisa asal, Nisa Li Empire turut menawarkan variasi seperti nestum, pistachio halal, red velvet dan coklat, dengan keseluruhan tujuh pilihan perisa termasuk rangkaian premium yang disasarkan kepada golongan muda, khususnya Gen Z.

Kepelbagaian tersebut membolehkan pelanggan memilih produk mengikut cita rasa masing-masing, selain membantu jenama berkenaan tampil lebih menarik dalam pasaran snek harian.

Bagi memenuhi keperluan pengguna yang mahu menikmati biskut pada harga berpatutan, produk berkenaan turut dipasarkan dalam bentuk pek sachet dengan harga RM1.50 sebungkus.

Sementara itu, produk dalam balang dijual pada harga antara RM10 hingga RM15, bergantung pada jenis dan pilihan produk.

“Bagi saya, produk perlu mempunyai kelebihan tersendiri.

“Kita tidak boleh hanya menjual produk yang sama tanpa memikirkan apa yang boleh diperbaiki.

“Sebab itu, saya cuba menghasilkan beberapa pilihan perisa dan memberikan perhatian kepada pembungkusan supaya produk bukan sahaja menarik, tetapi juga sesuai untuk dipasarkan di lebih banyak lokasi,” katanya.

Beliau kini turut memberikan perhatian kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), khususnya untuk menghasilkan balang yang lebih sesuai serta meningkatkan ketahanan produk sepanjang proses penyimpanan dan pengedaran.

Usaha tersebut penting bagi membolehkan produknya dipasarkan ke lokasi yang mempunyai tempoh penyimpanan dan corak jualan berbeza, termasuk kedai runcit, mesin layan diri dan premis makanan.

Daripada tiga kedai kepada 200 vendor

Perkembangan Nisa Li Empire semakin ketara apabila produk biskut kacangnya mula mendapat tempat dalam rangkaian pengedaran yang lebih luas.

Khadijatulhanisah berkata, pemasaran pada peringkat awal hanya melibatkan tiga kedai sebelum rangkaian tersebut berkembang secara berperingkat sehingga mencapai 200 vendor di Pulau Pinang.

Daripada jumlah itu, kira-kira 100 vendor masih aktif memasarkan produknya ketika ini.

Selain Pulau Pinang, biskut kacang berkenaan turut menembusi pasaran Kedah, Perak serta Kuala Lumpur dan Selangor.

Perkembangan tersebut memberi gambaran bahawa produk yang bermula sebagai usaha kecil-kecilan mempunyai peluang untuk berkembang apabila disokong strategi pengedaran yang bersesuaian dan hubungan yang baik dengan rakan niaga.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui pengurusan rangkaian vendor bukan perkara mudah, khususnya apabila melibatkan kos penghantaran, jarak perjalanan dan keperluan memastikan stok dapat dibekalkan secara konsisten.

Justeru, beliau kini lebih berhati-hati dalam merancang peluasan pasaran bagi memastikan pertumbuhan perniagaan tidak menyebabkan kos operasi meningkat secara berlebihan.

Menurutnya, keputusan untuk memasuki pasaran baharu perlu mengambil kira jumlah permintaan, kemampuan pengeluaran, kos logistik dan keupayaan menguruskan rangkaian pengedaran.

“Kita memang mahu berkembang, tetapi kita perlu tahu kemampuan sendiri.

“Jangan hanya melihat peluang untuk menambah jualan tanpa membuat pengiraan terhadap kos yang perlu ditanggung.

“Kalau kita terlalu cepat mengembangkan perniagaan sehingga mengambil komitmen yang tidak mampu ditanggung, kita sendiri boleh berdepan masalah,” ujarnya.

img 20261020 wa0036

MAHA buka ruang perluas jaringan pasaran

Antara pencapaian yang membanggakan Khadijatulhanisah ialah peluang menyertai MAHA di Serdang, selain penglibatan dalam pelbagai program dan pameran keusahawanan termasuk acara berkaitan FAMA dan program anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Baginya, penyertaan dalam pameran sedemikian bukan sekadar peluang mempamerkan produk, malah platform untuk memperkenalkan jenama kepada pengguna, membina jaringan perniagaan dan mengenal pasti potensi pasaran yang lebih luas.

Peluang menyertai MAHA khususnya memberikan ruang kepada usahawan seperti beliau untuk mengetengahkan produk tempatan kepada khalayak yang lebih besar, di samping mendapatkan pendedahan tentang perkembangan industri makanan dan keusahawanan.

Pengalaman menyertai program pitching yang membuka peluang pasaran dan kolaborasi di Vietnam juga membuka ruang untuk beliau meneroka potensi memasarkan produk dengan identiti yang lebih tersendiri, termasuk cadangan mengetengahkan produk berkenaan sebagai ‘Penang Nut Bar’.

Menurutnya, pengalaman menyertai program pembentangan dan pameran turut membantu meningkatkan keyakinan untuk memperkenalkan produk kepada pihak luar serta menilai potensi pengembangan perniagaan.

Beliau percaya penyertaan dalam acara seperti MAHA mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan usahawan kecil, khususnya mereka yang masih dalam proses membina jenama dan mengembangkan rangkaian pelanggan.

“Peluang seperti ini sangat penting kerana kita dapat memperkenalkan produk kepada lebih ramai orang.

“Pada masa sama, kita belajar bagaimana hendak membawa produk tempatan ke tahap yang lebih baik.

“Bagi usahawan kecil, kita perlu berani keluar daripada kebiasaan kerana kalau kita hanya berada di tempat yang sama, orang mungkin tidak akan mengenali produk kita,” katanya.

img 20261020 wa0033

AI dan penjenamaan untuk kekal berdaya saing

Dalam usaha memperkukuh kedudukan Nisa Li Empire, Khadijatulhanisah turut memberi perhatian kepada kepentingan penjenamaan dan penggunaan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), sebagai sebahagian daripada pendekatan untuk memperkenalkan produk kepada pasaran.

Baginya, usahawan masa kini perlu terbuka kepada kaedah baharu dalam mempromosikan produk, selain memastikan identiti jenama mudah dikenali dan mempunyai daya tarikan tersendiri.

Penggunaan teknologi dilihat berpotensi membantu usahawan kecil mendapatkan idea, memperkemas bahan pemasaran dan mengikuti perubahan trend pengguna tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada kaedah promosi konvensional.

Namun, beliau berpandangan bahawa teknologi perlu dimanfaatkan secara bijak dan disesuaikan dengan keperluan perniagaan agar usaha memperluas pemasaran memberikan hasil yang berkesan.

Dalam masa sama, beliau mahu memastikan penambahbaikan pembungkusan, pensijilan halal dan pembangunan produk dilaksanakan secara berperingkat bagi mengekalkan kualiti serta keyakinan pelanggan.

Sasar perluas pasaran

Melangkah ke hadapan, Khadijatulhanisah menyasarkan produk Nisa Li Empire dapat menembusi lebih banyak saluran pengedaran, termasuk stesen minyak, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta kedai nasi kandar di seluruh Pulau Pinang.

Beliau melihat lokasi tersebut mempunyai potensi kerana menawarkan akses kepada pelanggan daripada pelbagai latar belakang, selain sesuai untuk pemasaran snek dalam pek kecil yang mudah dibawa dan dinikmati pada bila-bila masa.

Walau bagaimanapun, usaha tersebut memerlukan perancangan teliti, terutama dari segi pembungkusan, ketahanan produk, jumlah stok, kos pengangkutan dan pengurusan ejen.

Beliau mahu memastikan setiap peluasan pasaran dilakukan berdasarkan kemampuan sebenar perniagaan supaya peningkatan permintaan tidak menjejaskan kelancaran operasi sedia ada.

Buat masa ini, tumpuan diberikan kepada usaha melengkapkan keperluan pensijilan halal, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan produk serta menambah baik pembungkusan sebelum melangkah lebih jauh.

Beliau juga tidak mahu terburu-buru membuat komitmen besar seperti membuka premis tambahan atau membina kilang tanpa terlebih dahulu menilai keperluan dan kemampuan kewangan perniagaan.

Katanya, perkembangan yang mampan lebih penting daripada pertumbuhan mendadak yang berisiko membebankan operasi.

“Bagi saya, kita perlu berkembang mengikut kemampuan.

“Tidak semestinya apabila perniagaan semakin besar, kita terus perlu membuka kilang atau mengambil komitmen yang tinggi.

“Perkara paling penting ialah memastikan produk berkualiti, pelanggan berpuas hati dan operasi dapat berjalan dengan baik.

“Apabila asas perniagaan sudah kukuh, barulah kita merancang langkah seterusnya,” katanya.

img 20261020 wa0034

Jangan takut bermula

Mengakhiri perbualan, Khadijatulhanisah berharap kisah jatuh bangun yang dilaluinya dapat menjadi inspirasi kepada golongan yang ingin menceburi bidang keusahawanan, khususnya wanita dan mereka yang mahu membantu meningkatkan ekonomi keluarga.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan tidak datang dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan kesediaan untuk belajar, menerima teguran dan memperbaiki kelemahan sepanjang perjalanan.

Usahawan juga disaran memanfaatkan kursus, latihan, geran dan program pembangunan yang disediakan agensi kerajaan kerana peluang tersebut boleh membantu meningkatkan kemahiran serta memperkukuh asas perniagaan.

Dalam masa sama, sokongan keluarga dan kekuatan diri menjadi elemen penting untuk terus bertahan ketika berdepan cabaran.

“Jangan takut untuk bermula hanya kerana kita rasa belum cukup ilmu atau belum mempunyai modal yang besar.

“Mulakan dengan apa yang ada, tetapi jangan berhenti belajar.

“Gunakan peluang latihan dan bantuan yang disediakan, berani mencuba sesuatu yang baharu dan sentiasa memperbaiki kelemahan.

“Bagi saya, yang penting bukan berapa cepat kita berjaya tetapi bagaimana kita terus bertahan, belajar dan bangkit setiap kali berdepan kesukaran,” katanya.

Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan biskut kacang keluaran Nisa Li Empire, mereka boleh mengunjungi premis perniagaan di No. 5, Lorong Seri Delima, Taman Seri Delima, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan.

Premis berkenaan beroperasi dari Selasa hingga Khamis, bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang, manakala Ahad merupakan hari cuti.