Bersama meriahkan program “Jom, Berbuka Puasa Bersama monsta Boboiboy@ Karnival Sungai Pinang” 1 April ini

SUNGAI PINANG – Umum dijemput memeriahkan program “Jom, Berbuka Puasa Bersama monsta Boboiboy@ Karnival Sungai Pinang” pada 1 April ini dari jam 4 petang hingga 8 malam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim berkata program tersebut bakal dipenuhi dengan pelbagai acara menarik selain turut menyediakan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Terdapat banyak gerai akan dibuka seperti gerai menjual makanan, jualan murah yang menawarkan tiga jenis barang pada harga RM10 (300 set) dan jualan dengan harga subsidi bagi produk ayam, telur serta sayur-sayuran.

“Malah, kita juga menyediakan baucar RM3 untuk mengisi minyak petrol bagi penunggang motosikal kepada 500 orang pengundi Sungai Pinang sahaja serta baucar RM50 untuk membuat cermin mata percuma kepada 100 orang.

“Selain itu, kaunter perkhidmatan seperti Bas Rapid untuk penduduk Sungai Pinang mendaftarkan Pas Mutiara, Zakat Pulau Pinang (ZPP), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta pameran oleh Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK),” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut hadir, ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer serta wakil-wakil agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan.

Siew Khim berkata, program tersebut juga turut akan dimeriahkan dengan beberapa permainan tradisional yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

“Kita juga ada acara membuat ketupat, kuih kapit dan mereka bentuk kolam, memasak bubur lambuk selain menyediakan ruang bergambar bersama-sama animasi terkenak Boboiboy,” jelasnya lagi.

Difahamkan, program tersebut bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR