Bersifat ‘matang’, Menteri tidak tolak Pulau Pinang mungkin negeri pertama adakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih tetap dengan pendiriannya menyokong agar Pilihan Raya Kerajaan Tempatan diadakan semula, ujar Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Jagdeep berkata, Pilihan Raya Kerajaan Tempatan akan menjadikan sesebuah kerajaan itu lebih akauntabel dalam menjalankan amanahnya kepada rakyat.

“Apabila anda memilih kami sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen dalam pilihan raya umum, ianya adalah akauntabel kepada anda.

“Ketika menjadi Kerajaan (Negeri) pada 2008, kita perkenalkan cogan kata Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT), jadi kita perlu ikutinya… kalau inginkan akauntabel dari semua lapisan, bukan sahaja di peringkat Persekutuan dan negeri, bahkan Kerajaan Tempatan juga perlu ada pilihan raya tersebut,” ujar beliau ketika berucap pada Forum Pilihan Raya Kerajaan Tempatan: Siapa Untung Siapa Rugi di Komtar baru-baru ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamarudin dan Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Mengenai alasan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan tidak boleh diadakan ekoran kononnya akan menjarakkan jurang antara bandar dan desa, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat menolak pendapat tersebut.

“Saya berpendapat, jika kita boleh pilih pemimpin Pusat dan negeri, mengapa peringkat Kerajaan Tempatan tidak boleh… di mana akan timbul isu bandar, kampung ataupun kaum?

“Adakah ia terjadi bila pilih saya sebagai wakil rakyat? Adakah ia timbul bila pilih Zuraida sebagai menteri? Jadi sebab itu saya tidak bersetuju apabila perkara tersebut dinyatakan bila mahu diadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan,” jelas beliau.

Melalui Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, Ahli-ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT), Datuk Bandar dan Yang di-Pertua (YDP) akan dipilih melalui sistem pilihan raya dan bukan lagi melalui lantikan seperti hari ini.

Zuraida sebagai respons kepada isu berkenaan ketika sidang media menyatakan bahawa pihaknya menganggarkan pilihan raya tersebut mungkin boleh dijalankan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

“Tiga tahun ini merangkumi proses untuk kita keluarkan satu model dan kertas cadangan kepada kabinet… jadi dalam masa tiga tahun ini kita akan buat bengkel kepada semua pihak berkepentingan, (buat) perancangan dan bagi penerangan kepada rakyat.

“Pada masa yang sama KPKT akan buat pindaan kepada akta-akta yang perlu,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Dalam pada itu, Zuraida juga tidak menolak kemungkinan bahawa Pulau Pinang mungkin akan muncul negeri pertama yang mengadakan pilihan raya tersebut kerana menyifatkan negeri ini sebagai ‘matang’.

“InsyaAllah… memandangkan Pulau Pinang sebuah negeri yang matang dan nampak bersedia, kerana sebelum ini pernah beri cadangan tetapi ditolak oleh Kerajaan Pusat terdahulu, namun sekarang kita sudah satu kerajaan.

“Mungkin apabila di peringkat pelaksanaan nanti, InsyaAllah Pulau Pinang akan jadi negeri nombor satu melaksanakannya,” ulasnya lanjut.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI