Majlis Kenduri Kahwin Perdana KADUN Jawi satukan lima pasangan, kurangkan beban B40

Admin

JAWI – Lima pasangan disatukan dalam satu Majlis Kenduri Kahwin Perdana Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi yang julung kalinya diadakan.

Penganjuran tersebut merupakan inisiatif antara Pusat Khidmat KADUN Jawi bersama-sama Pusat Khidmat Parlimen Nibong Tebal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye berkata, penganjuran program ini menampilkan sedikit kelainan walaupun setiap tahun pelbagai program dianjurkan melibatkan komuniti setempat seperti program Hari Keluarga dan Gotong-royong Perdana.

“Pada masa ini, boleh dikatakan kos perbelanjaan harian yang amat tinggi bagi setiap keluarga.

“Oleh itu, penganjuran program hari ini dapat membantu keluarga yang kurang berkemampuan khususnya golongan B40 untuk mengadakan majlis kenduri.

“Justeru, pada tahun ini kami (Pejabat ADUN Jawi bersama-sama Pusat Khidmat Parlimen Nibong Tebal)  telah memilih lima pasangan yang terdiri daripada keluarga yang berpendapatan sederhana untuk mengambil bahagian dalam perkahwinan perdana ini,” ucapnya semasa menghadiri program berkenaan di Masjid Daerah Jawi, Seberang Perai Selatan (SPS) di sini pada 17 Ogos lalu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Pegawai Daerah SPS, Yazman Yahya dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) SPS, Mohamad Fadzil Ahmad.

Turut serta, Pegawai Pejabat Agama Daerah SPS, Hasnan Che Ros dan Imam I Masjid Daerah Jawi, Mohd Sya’bani Awang.

Mengulas lanjut, Jason berhasrat untuk membantu semua pihak tidak kira kaum dalam KADUN Jawi dalam usaha meringankan beban keluarga yang menghadapi masalah.

“Melihat dengan sambutan yang diberikan pada hari ini, tahun depan kita (Pejabat ADUN Jawi bersama-sama Pusat Khidmat Parlimen Nibong Tebal) akan cuba tambahkan 10 lagi pasangan untuk perkahwinan perdana ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada para pengantin… semoga ikatan yang baru dibina antara keluarga akan kekal bahagia selamanya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Mansor ketika berucap menzahirkan rasa gembira dan bersetuju dengan cadangan Mooi Lye untuk menambahkan lagi pasangan pengantin bagi penganjuran tahun hadapan.

Antara juadah istimewa yang disajikan kepada para tetamu ialah nasi minyak, ayam masak merah, laksa penang, roti canai, apam balik dan bubur hitam.

Oleh: SITI HUMAIRA BINTI MOHAMED YASIN
Gambar: NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN