Bersihkan rasuah pelancongan – KM

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

TELUK BAHANG – Negeri Pulau Pinang bakal mengeluarkan sepucuk surat Ikrar Integriti Pelancongan membabitkan sektor terbabit sebagai langkah mengelakkan para pengusaha yang berkenaan menjalankan operasi secara tidak jujur.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada majlis meraikan Ulang Tahun Pertama Taman Tema (Escape) dan Upacara Pecah Tanah Pembinaan Taman Tema Air yang juga dikenali sebagai Escape Fasa II.

Menurut Guan Eng, Pengasas Escape yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif taman tema berkenaan sudah bergelumang dalam industri pelancongan selama 20 tahun.

Beliau, jelasnya sudah lali dengan tindakan isu memberi rasuah kepada orang ketiga bagi membawa pelancong ke sesebuah lokasi pelancongan.

“Escape membuktikan bahawa mereka mampu bersaing secara kompetitif tanpa menghulurkan rasuah kepada pihak-pihak tertentu.

“Hanya pihak yang tidak mampu bersaing berdasarkan merit akan mengguna taktik merasuah dan sistem kronisme bagi meraih bilangan pelancong yang banyak secara ‘jalan belakang’.

“Justeru, saya menyeru kepada semua penggiat industri pelancongan di sini (Pulau Pinang) untuk tampil dan menyokong Ikrar Integriti Pelancongan ini bagi menjadikan negeri Pulau Pinang negeri pertama di Malaysia yang bebas penipuan dalam sektor pelancongan,” katanya pada ucaptama majlis Ulang Tahun Pertama Escape dan Upacara Pecah Tanah Pembinaan Escape Fasa II di sini baru-baru ini.

Dalam tempoh setahun, Escape telah berjaya menarik seramai 150,000 pelancong dari dalam serta luar negara dan angka tersebut dijangka kian meningkat.

Dalam pada itu, majlis pecah tanah Escape Fasa II dirasmikan dengan simbolik menanam pokok di kawasan sekitar taman tema air yang dijangka siap pertengahan tahun hadapan.