Tender terbuka bina 707 rumah mampu milik

BAGAN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) baru-baru ini mengumumkan tender kepada pemaju berminat dengan projek pembinaan dua blok rumah mampu milik berketinggian 25 tingkat atas sebidang tanah berkeluasan 3.56 hektar di Kampung Jawa di sini.

Pengerusi PDC Properties Sdn. Bhd., Wong Hon Wai berkata, kedua-dua blok tersebut masing-masing terdiri daripada 353 unit rumah sederhana rendah dan 354 unit rumah kos sederhana.

Beliau berkata, projek yang dicadangkan itu dilengkapkan dengan empat tingkat parkir, serta 17 lot kedai, surau dan dewan orang ramai pada tiga tingkat lain.

Tidak cukup dengan itu, Hon Wai berkata, kemudahan seperti tadika, kawasan rekreasi, dewan serbaguna serta pagar kawasan perumahan turut melengkapi kemudahan awam dicadangkan.

Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam berkata, tarikh tutup permohonan tender terbuka projek tersebut adalah pada 16 Disember depan.

“Kami (Kerajaan Negeri) akan memilih kontraktor yang sesuai selepas tarikh tutup dan berharap projek ini akan bermula pada Januari 2014.

“Pihak yang berminat perlu menghadiri taklimat tapak pada 18 November pada pukul 10 pagi di Bilik AV, Tingkat 2, Bangunan PDC di Bayan Baru,” katanya dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.