BFF 2018, acara tahunan satu padukan rakyat melalui seni, budaya & warisan

Admin

BAGAN DALAM – Penganjuran Festival Pinggiran Butterworth atau Butterworth Fringe Festival (BFF) yang berlangsung buat kali keempat pada tahun ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk merancakkan kembali pembangunan Butterworth.

Mantan Ketua Menteri yang kini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Butterworth mempunyai pelbagai sejarah berkaitan seni, sastera dan kegiatan kebudayaan yang dikumpulkan semula melalui penganjuran festival berkenaan.

Lim Guan Eng melawat salah satu gerai yang mengambil bahagian pada penganjuran BFF 2018.

“Penganjuran BFF merupakan acara yang paling menonjol di Wilayah Utara selain Festival George Town yang menjadi hab utama kepada perkembangan seni, budaya dan warisan di negeri ini.

“Malah, ia (BFF) juga mampu menjadi platform untuk menyatupadukan rakyat di atas kecintaan terhadap seni, budaya dan warisan yang melangkaui latar belakang bangsa serta agama,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan semasa berucap merasmikan festival berkaitan 1 Disember lalu.

Turut berucap sebelum itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud yang menyatakan bahawa BFF merupakan satu inisiatif untuk meremajakan serta menjadikan Bandar Butterworth sebagai hab budaya, kreatif dan inovasi.

“BFF merupakan acara tahunan bertaraf antarabangsa yang diadakan sejak tahun 2015 dengan mempamerkan persembahan tempatan dan antarabangsa secara percuma kepada orang ramai.

“Walau bagaimanapun, penganjuran pada tahun ini membawa kelainan dalam mempersembahkan budaya antarabangsa yang membawa konsep Street Art Festival,” katanya.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP; Pengarah Eksekutif Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity), Hamdan Abdul Majeed; Pengurus BFF 2018, Jack Wong dan ramai lagi.

Pelbagai persembahan menarik dan warna-warni dipersembahkan sepanjang dua hari festival berlangsung antaranya, Orang-Orang Drum Theatre, Penang Modern Dance Ensemle (Euphoria Penang), Wak Long Music Grup, Angika Fine Arts, Fusion Wayang Kulit dan Artisan Market bagi segmen persembahan tempatan.

Manakala persembahan antarabangsa pula menampilkan Katay Santos, Circo Pitanga, Clap Clap Circo, Hero-San, World of Fire dan Claudian den Boer.

Terdapat juga gerai-gerai jualan makanan dan barangan kraftangan yang dilihat mendapat sambutan hebat daripada pengunjung.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD