“SAYA buat perniagaan ini supaya diri saya dihargai, dan saya rasa berjaya dalam bidang yang saya ceburi.”
Ringkas, namun cukup mendalam semasa ditemu bual oleh wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di lokasi beliau berniaga dekat Machang Bubuk pada 15 April lalu.

Itulah ungkapan keramat daripada E. ALAMELU, 57, seorang wanita cekal yang membuktikan bahawa ujian hidup bukanlah penentu noktah kegagalan, sebaliknya pemangkin untuk melangkah lebih jauh.
Mana tidaknya, selepas kehilangan suami tercinta sekitar 18 tahun lalu akibat masalah jantung, beliau terpaksa menggalas tanggungjawab berat sendirian.
Dengan dua anak yang masih kecil ketika itu, Alamelu tidak mengeluh.
Demi kelangsungan hidup, beliau bekerja di kilang sambil curi-curi masa mengambil tempahan makanan secara kecil-kecilan, sebelum masuk syif kerja.
Bagaimanapun, langit tidak sentiasa cerah.
Rentetan badai pandemik COVID-19, kilang tempat beliau mencari rezeki akhirnya ditutup.
Kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba memaksa Alamelu memerah otak.
Bermula Dengan Hanya Sebuah Meja
Enggan menyerah kalah kepada takdir, beliau nekad membuka gerai jualan makanan bungkus secara kecil-kecilan.
Bermula dengan hanya bermodalkan sebuah meja, siapa sangka air tangannya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada penduduk setempat sehinggalah perniagaan itu mampu bertahan hingga ke hari ini.
Rutin harian Alamelu bukanlah mudah, seawal jam 5.30 pagi, ketika orang lain masih diulik mimpi, beliau sudah pun terpacak di gerai demi melayan para pekerja kilang yang keluar awal pagi.
Menunya ringkas tapi memikat selera, ada idli, nasi lemak, bihun dan teh masala.
Malah, beliau sangat fleksibel mengikut selera pelanggan, termasuk menyediakan putu mayam jika ada permintaan.
Biarpun pendapatan hariannya sekadar sekitar RM30 hingga RM40 sehari, bagi Alamelu, keberkatan dan kepuasan pelanggan adalah segala-galanya.
Walau hari hujan sekalipun, gerai tetap dibuka kerana beliauenggan makanan yang sudah siap dimasak terbazir begitusahaja.
Sinar baharu bersama #BizIbuTunggal
Kehidupan Alamelu mula berubah wajah apabila beliauter libat dalam Projek #BizIbuTunggal, sebuah inisiatif hebat anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK).
Melalui projek berimpak tinggi ini, Buletin Mutiara dimaklumkan bahawa Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim dalam satusidang media bersama-sama Ketua Pegawai Elsekutif PWDC, Dato’ Ong Bee Leng antara lain memberitahu bahawa projektersebut secara keseluruhannya telah berjaya mencatatkanjualan luar biasa mencecah RM144,274.50 serta membantu127 ibu tunggal di seluruh Pulau Pinang, termasuk bakatmasakan Alamelu.
Mengulas lanjut, Alamelu menyatakan bahawa beliau mula dihujani tempahan korporat dan perayaan, termasuk menyediakan idli sempena Deepavali serta murukku untukTahun Baharu Cina dan Hari Raya.
Malah, beliau kini sudah mampu menyediakan katering untuk majlis cecah 100 orang pembeli!

Genggam trofi tempat ketiga negeri
Kemuncak kepada usaha tanpa kalah ini, nama Alamelu telah dicalonkan sendiri oleh AhlI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Kai Loon untuk menerima pengiktirafan sempena Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 pada 31 Mac lalu.
Dalam majlis penuh gilang-gemilang itu, beliau berjayamerangkul tempat ketiga bagi Kategori Ibu Tunggal, satu trofiyang bukan sahaja menghadirkan senyuman, malahmenyuntik semangat baharu untuknya terus maju.
Kini, selepas kedua-dua anaknya selamat mendirikan rumahtangga, Alamelu mahu terus fokus membesarkan empayar perniagaannya.
Pesanan beliau buat semua wanita di luar sana cukup ringkas: jangan mudah berpeluk tubuh.
“Peluang ini buat saya rasa dihargai, dan lebih yakin dengankebolehan diri.
“Kita kena sentiasa berusaha mencari jalan, jangan sekadar duduk sahaja di rumah,” katanya menutup perbualan dengan senyuman manis.