BERTAM – Seramai 20 belia daripada golongan asnaf fakir dan miskin di Pulau Pinang kini berpeluang menjana pendapatan sendiri serta mengubah nasib keluarga setelah terpilih menerima sumbangan motosikal di bawah Program iTEKAD CIMB Islamic MAINPP Entrepreneur.
Program strategik ini dilaksanakan menerusi peruntukan dana keseluruhan berjumlah RM400,000 hasil komitmen RM200,000 daripada CIMB Islamic melalui Wakalah Zakat yang diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), manakala baki RM200,000 merupakan geran padanan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, inisiatif dengan kerjasama Yayasan Belia Malaysia dan syarikat penghantaran makanan Foodpanda itu direka khusus untuk membuka peluang pekerjaan dalam ekosistem ekonomi digital sebagai penghantar makanan.
“Program ini bertujuan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.
“Berbekalkan peruntukan sejumlah RM400,000, kita memilih belia dalam kalangan asnaf fakir dan miskin supaya dapat membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan serta meningkatkan taraf kehidupan keluarga masing-masing melalui sumbangan motosikal ini,” katanya yang juga Yang Dipertua MAINPP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Beliau memberitahu perkara itu kepada Buletin Mutiara seusai merasmikan Majlis Penyerahan Motosikal Program iTEKAD CIMB Islamic MAINPP Entrepreneur yang berlangsung di Bertam Resort pada 19 Jun 2026.
Mengulas lanjut mengenai pemilihan peserta, Mohamad mendedahkan bahawa program tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada golongan sasaran sehingga menerima hampir 150 permohonan.
Walau bagaimanapun, menurutnya, buat masa ini hanya 20 peserta terbaik yang benar-benar layak telah disenarai pendek untuk menerima bantuan kenderaan tersebut.
Sehubungan itu, beliau menitipkan amanah dan harapan yang tinggi agar kesemua 20 penerima memanfaatkan peluang keemasan ini dengan sebaik mungkin demi masa depan yang lebih terjamin.
“Saya berharap para penerima sumbangan iTEKAD ini akan lebih produktif dan komited dalam usaha meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing,” tambah beliau.
Program iTEKAD merupakan antara inisiatif berterusan Kerajaan Persekutuan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) dan sektor korporat dalam memperkasakan usahawan mikro serta pencari kerja daripada golongan berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) dan asnaf terpilih melalui penyediaan modal kerja serta latihan bimbingan yang mampan.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD