Biar polis siasat isu Ramasamy, respons Kon Yeow

Admin

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak akan campur tangan dalam siasatan polis terhadap Timbalan Ketua Menteri II (TKM II), Prof. Dr. P. Ramasamy yang digambarkan menyokong satu kumpulan bersenjata dari Sri Langka.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu memorandum yang dihantar ke pejabatnya, berhubung desakan agar Ramasamy melepaskan jawatannya sebagai TKM II.

“Tak perlu (campur tangan Kerajaan Negeri sebagaimana disebut dalam memorandum itu) kerana polis sudah campur tangan, sudah banyak laporan polis dibuat, biarlah polis siasat.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak boleh campur tangan kerana ia mengganggu pihak polis buat kerja (siasatan lanjut),” jelasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) menjawab soalan pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Istiadat Konvokesyen Graduan German Dual Vocational Traning (GDVT) dekat Auditorium Kompleks Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) Bayan Lepas di sini pada pagi 28 Julai 2018.

Semalam, sejurus selepas Solat Fardhu Jumaat, ratusan penyokong serta pembangkang berhimpun di perkarangan depan Komtar bagi menzahirkan perasaan masing-masing terhadap peribadi Ramasamy.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS